top of page

IWC: JOHOR TUAN RUMAH INFLUENCER WORLD CUP 2025, HIMPUN BINTANG MEDIA SOSIAL DUNIA

  • Writer: Editor
    Editor
  • Sep 2, 2025
  • 2 min read

JOHOR BAHRU – Negeri Johor sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila dipilih sebagai tuan rumah kejohanan bola sepak pertama seumpamanya, ‘Influencers World Cup 2025’, yang menghimpunkan barisan pempengaruh dan pencipta kandungan terkemuka dari seluruh dunia.


Kejohanan yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 7 September 2025 itu bakal menyaksikan penyertaan pasukan daripada negara-negara popular seperti Argentina, Sepanyol, England, Mexico, Perancis, Colombia, Chile serta wakil tuan rumah, Malaysia.



Acara unik ini bukan sahaja memberi peluang kepada peminat bola sepak menyaksikan aksi di padang, malah turut menjadi platform untuk menghubungkan komuniti media sosial antarabangsa dalam suasana penuh semangat sukan dan hiburan.



Menurut penganjur, perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, dengan liputan disiarkan secara langsung melalui platform penstriman Kick.com bagi membolehkan peminat dari seluruh dunia menyaksikan perlawanan.


Kemuncak kejohanan dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 7 September, dengan pintu stadium dibuka kepada orang ramai yang ingin menyaksikan sendiri kehangatan aksi final.


Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan turut dirancang sepanjang kejohanan berlangsung termasuk sesi bertemu peminat, persembahan hiburan serta peluang kolaborasi antara pempengaruh dari pelbagai negara. Ini dijangka menjadikan Johor bukan sahaja pentas bola sepak, malah pusat tumpuan penggiat media sosial antarabangsa.


Seorang wakil penganjur berkata, kejohanan ini bakal menjadi fenomena baharu kerana ia menggabungkan unsur kompetitif bola sepak dengan keunikan dunia digital, sekali gus memberi pengalaman berbeza kepada peminat sukan dan pengguna media sosial.


“Johor dipilih kerana kemudahan infrastrukturnya yang lengkap, sokongan kerajaan negeri serta reputasinya sebagai destinasi pelancongan dan sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.


Dengan sokongan padu peminat tempatan serta liputan global, Influencers World Cup 2025 diyakini mampu menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, sekaligus meletakkan Johor sebagai hab sukan dan hiburan moden di rantau ini.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2025 Sports Republic™. All Rights Reserved.  
sportsrepublic.asia is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.
bottom of page