MESIR MARA KE PUSINGAN 16 TERBAIK, TEWASKAN AUSTRALIA MENERUSI PENALTI
- Editor

- Jul 4
- 1 min read

Mesir mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA selepas menewaskan Australia 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi pusingan kalah mati yang berlangsung sengit.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas mengharungi 120 minit permainan, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti sebelum skuad The Pharaohs muncul pemenang untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
Australia yang mempertaruhkan gandingan pertahanan tinggi lampai diketuai Harry Souttar, Alessandro Circati dan Lucas Herrington berjaya menyekat beberapa percubaan awal Mesir.
Namun, benteng itu akhirnya ditembusi apabila Emam Ashour menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-13 hasil gerakan kemas jentera serangan yang diterajui Mohamed Salah dan Omar Marmoush.
Australia bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-55 selepas pertahanan Mesir, Mohamed Hany, tertanduk bola sepakan percuma yang diambil Aiden O'Neill ke dalam gawang sendiri.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat masa sebenar, sebelum kedua-dua pasukan gagal menghasilkan jaringan dalam tempoh 30 minit masa tambahan.
Dalam penentuan sepakan penalti, Mesir memanfaatkan kegagalan dua pemain Australia, Harry Souttar dan Lucas Herrington, untuk menyempurnakan sepakan masing-masing.
Keputusan itu membolehkan Mesir mencatat kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti sekali gus menempah tiket ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA.





Comments