top of page

PIALA DUNIA: PERANCIS SINGKIR PARAGUAY, BERTEMU MAGHRIBI DI SUKU AKHIR

  • Writer: Editor
    Editor
  • Jul 5
  • 1 min read

Perancis mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Paraguay 1-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik yang berlangsung sengit di Stadium Philadelphia, awal pagi tadi.



Gol tunggal menerusi sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Kylian Mbappé pada minit ke-70, sudah memadai untuk memastikan Les Bleus meneruskan kemaraan, sekali gus menamatkan cabaran Paraguay dalam kejohanan edisi kali ini.


Perlawanan berlangsung seimbang apabila Paraguay berjaya mengekang asakan Perancis sepanjang babak pertama, menyebabkan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sebelum menuju ke bilik persalinan dengan keputusan 0-0.


Ketua jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro, melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utama dengan menurunkan Omar Alderete, Gustavo Velázquez dan Diego Gómez, manakala pengendali Perancis, Didier Deschamps, hanya membuat satu perubahan apabila Manu Koné menggantikan Aurélien Tchouaméni.


Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-70 selepas pemain gantian Perancis, Désiré Doué, dijatuhkan di dalam kawasan penalti oleh pertahanan Paraguay.


Mbappé yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti tenang menewaskan penjaga gol Paraguay untuk meletakkan Perancis di hadapan 1-0.


Paraguay berusaha mencari gol penyamaan pada baki perlawanan, namun pertahanan Perancis kekal ampuh untuk mempertahankan kelebihan tersebut sehingga wisel penamat dibunyikan.


Keputusan itu menyaksikan Perancis mara ke suku akhir dan dijadualkan menentang Maghribi pada 10 Julai dalam perebutan tempat ke separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page