PIALA DUNIA: FIFA BENARKAN BALOGUN BERAKSI, CETUS KONTROVERSI AKSI BERTEMU BELGIUM
- Editor

- Jul 6
- 2 min read

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membuat keputusan luar biasa apabila menangguhkan pelaksanaan penggantungan satu perlawanan ke atas penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, sekali gus membolehkannya diturunkan dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Belgium awal pagi esok.
Keputusan itu diumumkan selepas Rumah Putih dilaporkan menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino, bagi meminta badan induk bola sepak dunia itu menyemak semula insiden kad merah yang diterima Balogun ketika Amerika Syarikat menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0 pada pusingan 32 terbaik.
Balogun dilayangkan kad merah secara langsung selepas semakan Sistem Bantuan Pengadil Video (VAR) berhubung terjahan ke atas pertahanan Bosnia, Tarik Muharemovic, sekali gus dikenakan penggantungan automatik satu perlawanan mengikut peraturan pertandingan.
Bagaimanapun, FIFA memaklumkan bahawa kad merah tersebut tidak dibatalkan, sebaliknya pelaksanaan hukuman penggantungan itu ditangguhkan selama tempoh percubaan setahun berdasarkan Perkara 27 Kod Tatatertib FIFA.
Menurut FIFA, sekiranya Balogun melakukan kesalahan yang mempunyai tahap keseriusan sama dalam tempoh percubaan itu, penggantungan berkenaan akan dikuatkuasakan selain sebarang hukuman baharu yang dikenakan terhadapnya.
Keputusan itu dianggap luar biasa kerana lazimnya pemain yang menerima kad merah akan menjalani penggantungan automatik pada perlawanan berikutnya tanpa pengecualian.
Media antarabangsa melaporkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah menghubungi Infantino bagi meminta kes Balogun dikaji semula selepas pengendali Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino, berpendapat insiden berkenaan tidak sepatutnya membawa kepada kad merah.

Susulan keputusan itu, Trump mengalu-alukan tindakan FIFA dan menyifatkannya sebagai pembetulan terhadap "ketidakadilan besar", manakala Rumah Putih turut meraikan keputusan berkenaan di media sosial.

Namun, keputusan tersebut mengundang bantahan daripada Persatuan Bolasepak Diraja Belgium (RBFA) yang menyifatkan tindakan FIFA bercanggah dengan peraturan pertandingan dan Kod Tatatertib FIFA yang memperuntukkan penggantungan automatik selepas kad merah.
RBFA memaklumkan pihaknya sedang meneliti semua saluran yang ada bagi melindungi prinsip keadilan serta kesaksamaan dalam kejohanan, manakala jurulatih Belgium, Rudi Garcia, turut melahirkan rasa terkejut terhadap keputusan berkenaan.
Keputusan FIFA itu sekali gus menjadi antara episod paling kontroversi dalam Piala Dunia 2026, dengan ramai pemerhati mempersoalkan sejauh mana campur tangan pihak luar boleh mempengaruhi proses disiplin badan induk bola sepak dunia tersebut.





Comments