YOUNG TIGERS JUARA SULTAN OF JOHOR CUP 2026


JOHOR BAHRU: Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan, Young Tigers, muncul juara Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 selepas menewaskan Pakistan menerusi penentuan shoot-out dalam aksi final mendebarkan yang berakhir 2-2 selepas masa permainan sebenar di Stadium Hoki Johor, hari ini.

Pakistan terlebih dahulu menguasai permainan apabila Rana Waleed menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-19 sebelum Usman Muhammad menggandakan kelebihan menerusi gol padang empat minit kemudian.
Bagaimanapun, Young Tigers pantas merapatkan jurang apabila Adam Asyraf Johari menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-25 untuk menghidupkan peluang skuad negara.
Malaysia terus memperkemaskan serangan selepas rehat dan usaha itu membuahkan hasil apabila Dheeressh Gunaseelan menyamakan kedudukan 2-2 menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-49.
Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan penentuan juara terpaksa dilakukan menerusi shoot-out.
Malaysia mempamerkan ketenangan dalam situasi penuh tekanan apabila Adam Asyraf Johari, Gagandeep Singh, Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien dan Ashrafeel Iman Mohd Rizal masing-masing berjaya menyempurnakan percubaan.
Pakistan pula hanya memperoleh dua jaringan menerusi Ali Hamza dan Rana Waleed, sekali gus menyaksikan Malaysia mengesahkan kejuaraan selepas kebangkitan mengagumkan dalam perlawanan akhir itu.

Kejayaan berkenaan melengkapkan kempen cemerlang Young Tigers pada edisi 2026, selain menamatkan penantian 13 tahun untuk kembali menjulang kejuaraan berprestij itu.





Comments