top of page

BURIRAM PERTAHANKAN GELARANJUARA ACC SHOPEE CUP 2026

  • Writer: Editor
    Editor
  • 1 day ago
  • 2 min read

BURIRAM: Impian Selangor FC untuk melakar sejarah muncul juara Kejohanan Kelab-Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 tidak kesampaian apabila tewas 1-3 secara agregat kepada Buriram United dalam aksi final kedua di Chang Arena, malam tadi.



Walaupun turun dengan misi memburu kemenangan, skuad kendalian Kim Pan-gon terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan Thailand itu selepas tewas 1-2 pada aksi kedua sekali gus menyaksikan Buriram mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu.

Selangor bagaimanapun memulakan permainan dengan cukup meyakinkan apabila mengasak kubu tuan rumah seawal minit kedua. Peluang terbaik hadir menerusi percubaan deras Faisal Halim namun berjaya ditepis penjaga gol berpengalaman Filipina, Neil Etheridge sebelum percubaan susulan Quentin Cheng dihalang pertahanan Buriram.


Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil buat wakil Malaysia itu apabila rembatan padu Syahir Bashah dari luar kotak penalti menewaskan Etheridge pada minit ke-18 untuk meletakkan Selangor di depan 1-0.


Jaringan itu juga menjadi gol pertama Syahir dalam empat penampilannya di pentas ACC Piala Shopee musim ini sekali gus menyemarakkan harapan Selangor untuk mencipta kebangkitan di bumi Thailand.



Namun, pengalaman dan ketenangan Buriram mula terserlah pada babak kedua apabila tuan rumah berjaya bangkit mengikat kedudukan menerusi Suphanat Mueanta hasil hantaran kemas kapten Thailand, Theerathon Bunmathan.


Momentum kemudian berubah memihak kepada Buriram apabila Theerathon sendiri meledak gol kedua menerusi rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel sekali gus meletakkan juara Thailand itu selesa di depan.


Pada penghujung permainan, Buriram hampir menambah jaringan menerusi Robert Zulj dalam masa tambahan, namun gol tersebut dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).


Keputusan 2-1 kekal hingga tamat permainan untuk memastikan Buriram mempertahankan kejuaraan ACC Piala Shopee dengan agregat 3-1.



Walaupun gagal membawa pulang trofi, pencapaian Selangor tetap wajar dibanggakan apabila muncul kelab Malaysia pertama mara sehingga ke final Kejohanan Kelab-Kelab ASEAN sejak pertandingan itu diperkenalkan.


Prestasi cemerlang Gergasi Merah sepanjang kempen juga membuktikan kemampuan wakil Liga Malaysia untuk bersaing di pentas Asia Tenggara selain memberi petanda positif terhadap perkembangan bola sepak tempatan di peringkat serantau.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page