top of page

ACLE: JDT PERLU BERWASPADA, BISSOLI SENJATA UTAMA BURIRAM - XISCO MUNOZ

Writer: Editor
Editor
2 days ago
2 min read

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz, menggesa anak buahnya supaya memberikan perhatian khusus terhadap penyerang Buriram United, Guilherme Bissoli, menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara Elit AFC (ACLE) 2026-27, esok.


Kebimbangan pengendali kelahiran Sepanyol itu terhadap kemampuan Bissoli bukan tanpa alasan apabila penyerang kelahiran São Paulo, Brazil berusia 28 tahun itu pernah menghukum JDT dengan dua jaringan ketika Buriram United menewaskan Harimau Selatan pada final Piala Shopee musim lalu.


Muñoz menganggap Bissoli antara pemain utama yang mampu menjadi ancaman besar kepada JDT, terutama jika diberikan ruang dan peluang di kawasan berbahaya.


Walaupun Buriram United turut dibarisi beberapa pemain berkualiti seperti Robert Žulj dan penjaga gol berpengalaman, Neil Etheridge, Muñoz tetap melihat keupayaan individu Bissoli sebagai antara aspek yang perlu diberikan perhatian serius.


“Esok adalah hari untuk pertarungan satu lawan satu. Perkara ini perlu sentiasa diingat. Penting bagi para pemain untuk memahami bahawa mereka akan berdepan sebuah pasukan yang hebat.


“Mereka lebih kuat dari segi keupayaan individu. Dalam situasi pertarungan satu lawan satu, kita perlu bersedia menghadapinya,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.


Muñoz turut menegaskan bahawa JDT perlu mengawal permainan dengan baik serta memastikan Bissoli tidak diberikan kesempatan untuk memanfaatkan peluang yang hadir.


“Itu sahaja. Maksud saya, saya sebutkan lagi nama Bissoli kerana dia adalah jenis pemain yang mampu menyerlah jika diberikan sedikit peluang.


“Dia mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol. Satu lagi perkara ialah kita perlu menguruskannya dengan baik dan mengawal keadaan.


“Kita perlu memahami bagaimana untuk mendorong mereka dalam tempoh 30 jam terakhir ini. Kita mempunyai peluang dan perlu berjaya dalam usaha mendapatkan keputusan positif,” katanya.


Pertembungan JDT menentang Buriram United dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa ini dengan sepak mula pada 8.15 malam waktu Malaysia.


Aksi berkenaan pastinya menjadi ujian awal penting buat JDT dalam kempen ACLE musim ini, apatah lagi Buriram United hadir dengan reputasi sebagai antara kuasa besar bola sepak Thailand serta memiliki beberapa pemain yang mampu mencipta perbezaan.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page