top of page

JDT BUKA TIRAI RAHSIA KEJAYAAN MENERUSI DOKUMENTARI UNTAMED

Writer: Editor
Editor
5d
2 min read

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperluas pengaruhnya di luar padang menerusi pelancaran filem dokumentari UNTAMED, yang membongkar perjalanan 13 tahun Harimau Selatan membina empayar bola sepak dengan koleksi 35 trofi.


Dokumentari berdurasi 76 minit itu mengetengahkan perspektif peribadi Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail, mengenai visi, strategi dan cabaran dalam membangunkan kelab itu sehingga muncul sebagai antara kuasa utama bola sepak Malaysia.


Lebih daripada sekadar merakam kejayaan, UNTAMED turut membawa penonton menyelami sisi berbeza kebangkitan Harimau Selatan, termasuk tekanan, kontroversi dan keputusan penting yang membentuk identiti serta budaya kemenangan kelab berkenaan.


Dokumentari itu menghimpunkan pelbagai figura penting dalam perjalanan JDT, termasuk pemain, bekas jurulatih, pengurusan tertinggi dan personaliti terkenal yang berkongsi pandangan mengenai transformasi kelab berkenaan.


Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, berkata pelancaran UNTAMED bersama platform penstriman JDT+ mencerminkan visi jangka panjang kelab dalam memperkukuh ekosistem bola sepak profesional dan mengembangkan jenama Harimau Selatan ke peringkat antarabangsa.


Menurutnya, kejayaan sesebuah kelab moden tidak seharusnya dinilai berdasarkan keputusan perlawanan atau jumlah trofi semata-mata, sebaliknya turut bergantung pada kekuatan struktur organisasi, budaya profesional dan konsistensi dalam meningkatkan standard prestasi.


“UNTAMED memberi gambaran tentang apa yang diperlukan untuk membina JDT seperti hari ini, termasuk visi, keputusan penting dan cabaran di sebalik pencapaian kelab.


“Menerusi JDT+, kami membawa pendekatan yang sama ke luar padang dengan membangunkan platform kandungan premium original milik kelab sendiri.


“Ini bukan sekadar usaha untuk mendekatkan penyokong dengan Southern Tigers, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang kami untuk terus mengembangkan JDT sebagai sebuah jenama sukan yang mampu bersaing dan mendapat tempat di peringkat antarabangsa,” katanya.


Menerusi pendedahan eksklusif di sebalik tabir, penonton berpeluang melihat realiti kehidupan di sebalik empayar bola sepak Johor, daripada suasana bilik persalinan dan sesi latihan hinggalah kepada tekanan serta perjuangan yang mengiringi usaha memburu kejayaan.


Seiring pelancaran dokumentari itu, JDT turut memperkenalkan JDT+, platform penstriman eksklusif yang menghimpunkan dokumentari, siri original dan pelbagai kandungan premium berkaitan kelab.


Berteraskan identiti The Home of JDT Originals, platform itu bakal menjadi hab rasmi bagi penceritaan eksklusif mengenai Harimau Selatan, termasuk rakaman di sebalik tabir, perspektif pemain dan jurulatih serta perkembangan kelab di luar aksi 90 minit di atas padang.


UNTAMED dipilih sebagai kandungan sulung JDT+, sekali gus menandakan langkah baharu kelab dalam membangunkan kandungan original bagi mengangkat identiti, falsafah dan perjalanan Harimau Selatan kepada khalayak lebih luas.


Selepas UNTAMED, JDT+ dijadualkan menampilkan OUTBOUND, sebuah siri dokumentari premium yang merakam perjalanan, cabaran dan perjuangan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dari musim ke musim.


Siri berkenaan dijadualkan menemui penonton mulai November 2026, sebelum disusuli pelbagai kandungan original lain sepanjang musim 2026/27.


Langkah itu memperlihatkan usaha JDT untuk mengembangkan penceritaan jenama kelab melangkaui kejayaan di atas padang, sekali gus membuka ruang baharu dalam menghubungkan penyokong dengan perjalanan Harimau Selatan.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page