top of page

ACLE: XISCO TIDAK GENTAR TANPA EDDY ISRAFILOV, JDT SASAR TIGA MATA

Writer: Editor
Editor
7 days ago
1 min read

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, yakin barisan pemainnya mampu memberikan aksi terbaik meskipun terpaksa beraksi tanpa khidmat tonggak tengah, Eddy Israfilov, yang digantung dua perlawanan susulan layangan kad merah.


JDT bakal memburu kemenangan kedua dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila melayan kunjungan wakil Thailand, Port FC, di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.



Munoz mengakui kepentingan aksi itu dalam usaha Harimau Selatan meneruskan momentum positif, sambil menyifatkan setiap perlawanan dalam saingan berprestij Asia berkenaan sebagai cukup penting.


“Kita kembali dalam saingan kegemaran saya. ACLE sentiasa istimewa, lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri.


“Kami perlu terus fokus dan memberikan aksi terbaik. Esok adalah hari penting dan kami berharap dapat memperoleh keputusan positif.


“Kami mahu meneruskan momentum. Setiap perlawanan penting, seolah-olah satu aksi final. Kami menjangkakan perlawanan yang sengit esok,” katanya.


Mengulas ketiadaan Israfilov, Munoz mengakui pemain itu mempunyai peranan penting buat pasukan, namun menegaskan JDT masih memiliki kedalaman skuad yang mencukupi untuk menghadapi cabaran berkenaan.


“Eddy Israfilov bagi saya adalah pemain yang sangat penting, begitu juga buat kelab. Namun, saya ulangi sekali lagi, kami mempunyai skuad yang bagus dengan 20 pemain yang bersedia untuk beraksi.


“Mereka akan memberikan 100 peratus, sama ada beraksi selama 90 minit atau hanya 20 minit terakhir,” katanya.


Keyakinan itu mencerminkan kepercayaan Munoz terhadap kemampuan setiap pemain untuk memikul tanggungjawab apabila diberikan peluang, sekali gus memastikan JDT kekal kompetitif dalam usaha memburu tiga mata di laman sendiri.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page