top of page

ACLE: JDT TUNJUK TARING BENAM PORT FC 3-0, LONJAK KE TANGGA KEDUA LIGA

Writer: Editor
Editor
5 days ago
2 min read

Jaringan babak kedua Jonathan Silva, Bergson Da Silva dan Stoichkov memastikan Harimau Selatan meneruskan rentak kemenangan serta melebarkan rekod tanpa kalah di pentas Asia.


Johor Darul Ta'zim (JDT) mempamerkan taring sebenar menerusi ledakan tiga gol pada babak kedua untuk membenam wakil Thailand, Port FC, 3-0 dalam aksi ketiga Zon Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2026-27 di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.


Kemenangan kedua berturut-turut di hadapan 19,174 penyokong itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan untuk melonjak ke tangga kedua carta Zon Timur, hanya dua mata di belakang pendahulu dari Jepun, Vissel Kobe.


Pada babak pertama, anak buah Xisco Munoz melancarkan asakan bertali arus menerusi kapten pasukan, Arif Aiman Hanapi dan pemain tengah, Oscar Arribas, namun ketangkasan penjaga gol pelawat, Michael Falkesgaard, memastikan gawang Port FC tidak dibolosi.


Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-41 apabila rembatan kencang Arif Aiman berjaya ditepis Falkesgaard untuk memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.


Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-53 apabila Jonathan Silva melepaskan sepakan voli rendah yang menerjah penjuru gawang selepas menyambar hantaran lambung tepat Arif Aiman dari sebelah kanan.


Munoz kemudian memasukkan penyerang prolifik, Bergson Da Silva, pada minit ke-57 bagi menggantikan Shahab Zahedi, dan pertukaran itu membuahkan hasil lima minit kemudian apabila tandukan Bergson terbias pada pertahanan lawan sebelum menerjah jaring untuk menggandakan kelebihan JDT.


Bagaimanapun, Bergson terpaksa dikeluarkan beberapa minit kemudian akibat kecederaan dan digantikan pemain Sepanyol, Stoichkov.


Port FC hampir merapatkan jurang menerusi Jude Soonsup-Bell pada minit ke-70, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh pengadil perlawanan, Alireza Faghani, mengesahkan kedudukan ofsaid.



Stoichkov kemudian melengkapkan malam gemilang Harimau Selatan pada minit ke-86 apabila menyudahkan serangan balas pantas yang dimulakan menerusi larian deras Marcos Guilherme untuk memastikan JDT menutup perlawanan dengan kemenangan meyakinkan 3-0.


Kemenangan itu menjadi suntikan moral buat JDT menjelang aksi seterusnya apabila dijadual bertandang ke Korea Selatan untuk menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada 3 November ini.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page