LOUIS VUITTON HASILKAN KOTAK EKSKLUSIF TROFI PIALA DUNIA FIFA 2026
- Editor

- Jul 17
- 2 min read

Trofi Piala Dunia FIFA sekali lagi akan diarak ke pentas final dalam kotak eksklusif rekaan jenama fesyen mewah Perancis, Louis Vuitton, sekali gus meneruskan kerjasama ikonik antara jenama berkenaan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Kotak khas itu bakal mengiringi trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia ke Stadium New York-New Jersey sempena perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026, mengekalkan tradisi yang telah menjadi simbol kemuncak kejohanan sejak beberapa edisi lalu.

Rekaan terbaharu itu menampilkan huruf 'V' berwarna emas yang membawa dua makna, iaitu Victory (Kemenangan) dan Vuitton, selain dihiasi corak monogram ikonik Louis Vuitton serta pelindung bucu daripada loyang bersalut emas.
Bahagian dalam kotak tersebut pula dilapisi kulit berwarna kuning air dan dilengkapkan dengan lencana khas yang memperingati kerjasama antara Louis Vuitton dan FIFA.

Piala Dunia 2026 menandakan kali kelima berturut-turut Louis Vuitton diberi penghormatan menghasilkan kotak eksklusif untuk trofi Piala Dunia, selepas melaksanakan tugas sama pada edisi 2010 di Afrika Selatan, 2014 di Brazil, 2018 di Rusia dan 2022 di Qatar.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Louis Vuitton, Pietro Beccari, berkata kerjasama berterusan itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam mengangkat nilai kecemerlangan serta perpaduan menerusi sukan.
"Selama lebih sedekad, Louis Vuitton dan FIFA berkongsi komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan, berlandaskan kepercayaan bahawa sukan mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi dan menyatukan manusia," katanya dalam satu kenyataan.
Penglibatan jenama mewah dalam arena sukan profesional bukanlah sesuatu yang baharu. Di Amerika Syarikat, Tiffany & Co. telah menghasilkan Trofi Vince Lombardi yang dianugerahkan kepada juara Super Bowl sejak edisi pertama kejohanan itu pada 1967.
Selain itu, Louis Vuitton turut menghasilkan kotak trofi eksklusif bagi beberapa perlumbaan Formula 1 menerusi perjanjian kerjasama jangka panjang selama sedekad.
Bagaimanapun, trofi Piala Dunia FIFA memiliki nilai sejarah dan simbolik yang jauh lebih besar kerana hanya terdapat satu trofi rasmi yang disimpan di Muzium FIFA di Zurich, Switzerland, sekali gus menjadikan peluang menghasilkan kotak khas untuk trofi berkenaan sebagai satu penghormatan yang amat eksklusif.
Sejak beberapa edisi lalu, detik trofi Piala Dunia dibawa masuk ke stadium menjelang sepak mula perlawanan akhir menggunakan kotak Louis Vuitton telah menjadi antara simbol paling dinantikan dalam kejohanan itu, menggabungkan elemen sukan bertaraf dunia dengan sentuhan kemewahan yang menjadi identiti jenama tersebut.





Comments