top of page

MCC2025 : MANCHESTER UNITED KEMPUNAN PIALA LAGI, DI EJEK PEMINAT

  • Writer: Editor
    Editor
  • May 29
  • 2 min read

ree

Manchester United terus mencatatkan prestasi hambar apabila tewas 0-1 kepada pasukan gabungan ASEAN All-Stars dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

ree

Perlawanan yang disaksikan puluhan ribu penyokong itu menyaksikan Red Devils diejek sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, selepas gagal menampilkan aksi meyakinkan menentang pasukan pilihan pemain Asia Tenggara.


Jaringan tunggal perlawanan hadir pada separuh masa kedua menerusi pemain sayap kelab Lamphun Warriors dari Liga Thailand 1, Maung Maung Lwin, yang mengejutkan skuad kendalian Ruben Amorim.


Kekalahan ini menambah luka buat United selepas menamatkan musim Liga Perdana Inggeris dengan kedudukan ke-15 – yang terburuk dalam sejarah kelab. Mereka tiba di Kuala Lumpur hanya beberapa hari selepas menewaskan Aston Villa 2-0 di Old Trafford dalam perlawanan terakhir liga.


Amorim mengakui beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi buruk pasukan.


“Saya sentiasa rasa bersalah, sejak hari pertama saya di sini. Ejekan peminat mungkin sesuatu yang kami perlukan kerana mereka sentiasa bersama kami, walaupun ketika tewas dalam liga. Tapi jika mereka rasa cara permainan kami tidak berkesan, mereka berhak untuk menyuarakan rasa tidak puas hati,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.


United menurunkan barisan pemain yang diubah suai, namun beberapa tonggak utama seperti André Onana, Harry Maguire, Manuel Ugarte dan Rasmus Højlund tetap berada dalam kesebelasan utama. Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho dan Amad Diallo turut dimasukkan pada babak kedua.

ree

Bagaimanapun, United masih gagal mencatat kemenangan berturut-turut sejak Mac lalu.


“Kami sepatutnya bermain lebih baik. Rentak kami perlahan dan kami perlu miliki semangat untuk menang dalam setiap sesi latihan dan perlawanan. Tapi yang penting, tiada pemain cedera. Kami mahu menghormati penyokong di sini dengan menurunkan semua pemain,” jelas Amorim.


United dijadualkan menamatkan siri jelajah Asia mereka dengan satu lagi perlawanan menentang pasukan kebangsaan Hong Kong pada Jumaat ini sebelum para pemain pulang untuk cuti musim panas.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2025 Sports Republic™. All Rights Reserved.  
sportsrepublic.asia is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.
bottom of page