LEGENDA BOLA SEPAK DUNIA GEGAR STADIUM NASIONAL TM OKTOBER INI
- Editor

- 4 minutes ago
- 2 min read

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Peminat bola sepak tanah air bakal disajikan dengan aksi bintang-bintang legenda dunia apabila AllStar Legends Football Match menghimpunkan bekas pemain ternama dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Nasional TM pada 3 Oktober depan.
Perlawanan anjuran AllStar Sports Sdn. Bhd. (AllStar Sports) dengan kerjasama World Football Legends (WFL) itu bakal menyaksikan pertembungan antara AllStar Premier League Legends dan AllStar World Legends, sekali gus menjanjikan pengalaman istimewa buat peminat sukan nombor satu dunia itu.
Acara berkenaan dijangka mencipta sejarah sebagai antara perlawanan legenda terbesar pernah dianjurkan di Malaysia apabila menampilkan bekas pemain yang pernah menjulang kejuaraan berprestij seperti Piala Dunia FIFA, Liga Juara-Juara UEFA dan Liga Perdana Inggeris.
Bagi skuad AllStar Premier League Legends, nama besar seperti bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard; pemenang Ballon d'Or, Michael Owen; legenda Manchester United, Ryan Giggs; bekas penyerang Chelsea dan Barcelona, Eidur Gudjohnsen; serta bekas pertahanan Liverpool, John Arne Riise, antara yang sudah mengesahkan penyertaan.
Sementara itu, AllStar World Legends bakal dibarisi pemenang Piala Dunia FIFA, Alessandro Del Piero dan Dida, selain bekas pertahanan Belanda, Jaap Stam, bekas penyerang Argentina, Javier Saviola serta legenda Real Madrid, Fernando Morientes.
Tiket bagi menyaksikan perlawanan itu kini mula dijual menerusi platform rasmi Ticket2U dengan beberapa kategori ditawarkan kepada penyokong.
Kategori VIP berharga RM1,998 menawarkan pengalaman eksklusif termasuk sesi Meet-and-Greet, sesi autograf bersama legenda bola sepak serta akses premium. Grand Stand pula dijual pada harga RM399 dengan tempat duduk premium dan beg cenderamata rasmi.
Bagi kategori lain, tiket Kategori 1 dijual pada harga RM209, Kategori 2 (RM168), Kategori 3 (RM98), manakala Kategori 4 atau Zone MADANI ditawarkan pada harga RM62 dalam jumlah terhad.
Peminat turut boleh menikmati promosi High5 Bundle yang menawarkan diskaun 20 peratus bagi pembelian lima tiket, menjadikan harga setiap tiket hanya RM78.40.
Mengangkat tema 'Rise Above All', AllStar Sports berkata penganjuran acara itu bertujuan menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang menerusi semangat kesukanan serta meraikan budaya bola sepak yang merentasi generasi.
Selain AllStar Sports selaku penganjur, acara itu turut mendapat sokongan BYD Sime Motors sebagai Rakan Automotif Rasmi, Gambit Group selaku penganjur bersama, NIVEA MEN dan Spritzer Berhad sebagai Penaja Emas, Astro sebagai Rakan Media Rasmi, Seni Jaya Corporation Berhad sebagai Rakan Media Luar Rasmi, PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur sebagai Rakan Hotel Rasmi serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Penganjur yakin perlawanan itu bukan sahaja bakal mengembalikan nostalgia peminat terhadap aksi legenda bola sepak dunia, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.





Comments