top of page

LIGA SUPER: JDT PESTA GOL, BENAM STAR CITY 7-0 DI STADIUM SULTAN IBRAHIM

Writer: Editor
Editor
Aug 30
1 min read

Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super apabila membelasah Star City 7-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.


Kemenangan bergaya itu menyaksikan skuad Harimau Selatan sekali lagi berpesta jaringan selepas menewaskan Kelantan Red Warriors pada Rabu lalu, dengan penyerang naturalisasi negara, Bergson Da Silva, menjadi watak utama menerusi jaringan hatrik.



Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, mempertaruhkan gandingan Bergson dan Shahab Zahedi di jentera serangan, manakala Star City diketuai pemain berpengalaman, Rizal Ghazali.


Bergson membuka tirai jaringan pada minit ke-17 selepas menyudahkan peluang terhidang untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.



Sepuluh minit kemudian, Marcos Guilherme menggandakan kelebihan JDT menerusi jaringan keduanya musim ini sebelum Bergson sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring pada minit ke-35.


JDT terus menguasai permainan dan menambah dua lagi gol pada penghujung babak pertama menerusi Kevin Medina dan Shahab Zahedi untuk membawa tuan rumah ke bilik persalinan dengan kelebihan 5-0.


Memasuki babak kedua, JDT tidak memperlahankan tempo permainan apabila pemain gantian Carlos Akapo menjaringkan gol keenam pada minit ke-68 selepas menerima hantaran Jairo da Silva, kira-kira 12 minit selepas dimasukkan.


Bergson kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-77 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan dengan tenang selepas bola terkena tangan pertahanan Star City, Anwar Ibrahim.


Kemenangan 7-0 itu melengkapkan satu lagi persembahan dominan JDT di laman sendiri, sekali gus memperlihatkan ketajaman jentera serangan mereka dalam saingan Liga Super musim ini.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page