PIALA FA: UM-DAMANSARA UNITED PINDAH AKSI PERTAMA MENENTANG JDT KE SSI


UM-Damansara United mengesahkan aksi pusingan 16 Piala FA 2026-2027 menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), pada 1 September ini akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Perlawanan berkenaan pada asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium UM Arena sebagai aksi pertama sebelum kedua-dua pasukan bertemu semula pada aksi timbal balik, tujuh hari kemudian.
Bagaimanapun, venue perlawanan pertama terpaksa dipindahkan berikutan Stadium UM Arena digunakan bagi penganjuran kejohanan bola sepak Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang berlangsung di Universiti Malaya minggu ini.
UM-Damansara United menerusi kenyataan di media sosial memaklumkan dua aksi pertama mereka terpaksa dilangsungkan di gelanggang lawan berikutan penggunaan Stadium UM Arena untuk kejohanan berkenaan.
“Stadium Arena UM ditempah dan diduduki oleh acara dan perlawanan SUKIPT. Dua aksi pertama kami akan dimainkan di tempat lawan. Selepas ini, kami akan kembali ke Stadium UM Arena untuk baki musim ini,” menurut kenyataan tersebut.
Perubahan venue itu menyaksikan UM-Damansara United berdepan JDT di gelanggang sendiri dari segi status perlawanan, namun aksi tersebut tetap berlangsung di SSI, iaitu gelanggang keramat skuad Harimau Selatan.
Perkembangan berkenaan turut selari dengan pengumuman Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan saingan pusingan 16 Piala FA 2026-2027 bermula pada 1 September, dengan aksi timbal balik dijadualkan berlangsung mulai 8 September.
Pertemuan UM-Damansara United dan JDT turut mencuri perhatian selepas kedua-dua pasukan sekali lagi dipertemukan dalam Piala FA, selepas berentap dalam kejohanan sama pada musim lalu.
Pada edisi 2025-2026, JDT menyingkirkan UM-Damansara United menerusi kemenangan agregat 10-3.
JDT hadir ke saingan musim ini sebagai juara bertahan selepas menewaskan Sabah FC pada aksi final Piala FA 2025-2026, sekali gus memburu kejuaraan kelima dalam sejarah kelab itu.
Sementara itu, MFL memaklumkan semua perlawanan pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir Piala FA musim ini akan dimainkan secara timbal balik.
Aksi UM-Damansara United menentang JDT dijadualkan berlangsung pada Selasa, 1 September 2026 di Stadium Sultan Ibrahim.





Comments