top of page

PIALA FA: TERENGGANU BANGKIT TEWASKAN DPMM, BAWA BEKALAN TIPIS UNTUK AKSI KEDUA

Writer: Editor
Editor
6 days ago
1 min read

Terengganu FC membawa bekalan tipis menjelang aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA 2026-2027 selepas bangkit dua kali untuk menewaskan DPMM FC 3-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah, malam tadi.


Pertemuan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung minggu lalu terpaksa ditunda susulan keadaan jerebu yang melanda Brunei. Penjadualan semula itu menyaksikan aksi DPMM dan Terengganu menjadi satu-satunya perlawanan timbal balik pertama pusingan 16 yang berlangsung minggu ini.


Beraksi di laman lawan, Terengganu bermula kurang meyakinkan apabila DPMM membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi penyerang England, Jordan Murray yang menyudahkan peluang dengan kemas.


Namun, kelebihan tuan rumah tidak bertahan lama apabila pertahanan Terengganu, Ubaidullah muncul penyelamat untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-29.

DPMM sekali lagi berada di hadapan lima minit kemudian apabila Murray mencetak gol keduanya pada minit ke-34, sekali gus meletakkan Terengganu dalam situasi sukar untuk mengejar permainan.


Bagaimanapun, skuad Sang Penyu enggan mengalah dan terus meningkatkan tekanan sebelum Ubaidullah sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledakkan gol keduanya untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum tamat separuh masa pertama.


Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha mencari gol kemenangan, namun Terengganu lebih tenang menguruskan permainan ketika perlawanan memasuki penghujung aksi.


Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-85 apabila Romel Morales muncul wira pelawat selepas menyambar hantaran lintang rakan sepasukan untuk menghasilkan jaringan kemenangan.


Kemenangan 3-2 itu memberikan Terengganu sedikit kelebihan untuk dibawa ke aksi timbal balik kedua, namun skuad Sang Penyu masih perlu berwaspada bagi memastikan tiket ke suku akhir Piala FA menjadi milik mereka.


Aksi timbal balik kedua dijadualkan berlangsung minggu depan, dengan Terengganu kini hanya memerlukan keputusan positif untuk meneruskan kemaraan dalam saingan piala berprestij berkenaan.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page