DERBY LIGA SUPER: DPMM CURI TIGA MATA, SABAH FC TEWAS KALI KEDUA DI LIKAS


Sabah FC sekali lagi gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Kekalahan itu menyaksikan skuad Sang Badak menanggung kekecewaan kedua di gelanggang sendiri pada awal saingan Liga Super musim ini, sekali gus memberi isyarat bahawa mereka masih perlu memperkemaskan prestasi ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri.
DPMM tampil lebih agresif sejak awal permainan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-13 apabila pemain pertahanan, Ebenezer Abban, meledak gol pembukaan untuk meletakkan pasukan dari Brunei Darussalam itu di hadapan 1-0.
Sabah bagaimanapun tidak mengambil masa lama untuk bangkit apabila penyerang Gonzalo Ignacio Di Renzo menyamakan kedudukan pada minit ke-24 bagi menghidupkan kembali peluang tuan rumah dalam perlawanan berkenaan.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama, dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbuka dan saling menguji benteng pertahanan masing-masing.
Memasuki separuh masa kedua, DPMM kembali meningkatkan tekanan dan pendekatan agresif mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-65.
Penyerang Jordan David Murray muncul sebagai pemusnah harapan tuan rumah apabila menyudahkan peluang untuk meletakkan DPMM kembali di depan, 2-1.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Sabah cuba meningkatkan tempo permainan bagi mencari gol penyamaan, namun beberapa percubaan yang dirancang gagal disudahkan dengan berkesan.
Sang Badak berpeluang mengubah kedudukan menerusi sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik pada minit ke-70, 76 dan 82, namun usaha mereka sama ada tersasar atau berjaya dipatahkan penjaga gol DPMM, Samuel Jacob Somerville.
DPMM kemudian bertahan dengan disiplin pada minit-minit akhir untuk memastikan kelebihan 2-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus membawa pulang tiga mata berharga dari Kota Kinabalu.
Bagi Sabah, kekalahan itu menambah tekanan terhadap mereka selepas sebelum ini turut kecundang 0-2 kepada Kuching City FC ketika beraksi di laman sendiri pada 5 September lalu.
Kegagalan memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Likas pastinya menjadi perkara yang perlu diberi perhatian oleh barisan kejurulatihan Sabah sekiranya mereka mahu kembali bersaing secara konsisten dalam saingan Liga Super musim ini.





Comments