top of page

DERBY SELATAN: JDT BENAM NEGERI SEMBILAN 3-0, KEKAL DI PUNCAK LIGA

Writer: Editor
Editor
4 days ago
2 min read

Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan penguasaan dalam saingan Unifi Liga Super Malaysia 2026/27 apabila menundukkan Negeri Sembilan FC 3-0 dalam aksi Derby Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.


Kemenangan itu bukan sahaja membolehkan skuad Harimau Selatan mengutip tiga mata penuh, malah memastikan anak buah Xisco Muñoz terus menghuni tangga teratas liga selepas mempamerkan persembahan yang kemas serta berkesan sepanjang perlawanan.


JDT tidak mengambil masa lama untuk membuka tirai jaringan apabila Shahab Zahedi meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-11.



Penyerang Iran itu pantas menyambar bola muntah selepas penjaga gol Negeri Sembilan, Azri Ab Ghani, gagal mengekalkan kemasannya, sekali gus memberikan kelebihan awal buat juara bertahan itu.


Kelebihan berkenaan kemudian digandakan pada minit ke-30 menerusi Bergson Da Silva.




Bermula daripada gerakan Arif Aiman Hanapi, Bergson memperlihatkan ketenangan di dalam kotak penalti apabila melakukan pusingan sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Azri untuk menjadikan kedudukan 2-0.


Memasuki babak kedua, JDT terus mengawal rentak permainan dengan penguasaan bola dan gerakan menyerang yang lebih tersusun.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-66 apabila Marcos Guilherme menjaringkan gol ketiga.



Sekali lagi Arif Aiman menjadi pencetus kepada jaringan berkenaan apabila hantaran lorongannya berjaya melepasi beberapa pemain pertahanan Negeri Sembilan sebelum disudahkan dengan tenang oleh penyerang kelahiran Brazil itu.


Walaupun sudah ketinggalan tiga gol, Negeri Sembilan tidak mudah mengalah dan Azri tampil sebagai antara pemain paling menyerlah buat pasukan pelawat pada separuh masa kedua.


Beberapa aksi menyelamat penting dipamerkan penjaga gol itu bagi menghalang JDT daripada menambah jaringan, sekali gus memastikan keputusan kekal 3-0 sehingga wisel penamat.


Selain kemenangan yang mengukuhkan kedudukan mereka di persada liga, persembahan JDT turut memperlihatkan kecenderungan skuad itu untuk mengeksploitasi ruang di bahagian tengah pertahanan lawan.


Kombinasi antara pergerakan Arif Aiman, ketajaman Bergson, Zahedi dan Marcos Guilherme memberikan lebih banyak variasi kepada corak serangan JDT, terutama ketika berdepan benteng yang berkumpul di kawasan sendiri.


Formula tersebut pastinya menjadi antara aspek yang akan diberi perhatian Xisco Muñoz menjelang tugasan lebih mencabar dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).


JDT dijadual berdepan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim Selasa depan, dengan kemenangan ke atas Negeri Sembilan menjadi suntikan keyakinan penting buat Harimau Selatan untuk meneruskan momentum di pentas domestik dan Asia.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page