JDT MENANGI DUA PERLAWANAN RASMI DALAM TEMPOH KURANG 24 JAM


Harimau Selatan mencipta satu pencapaian luar biasa apabila berjaya memenangi dua perlawanan rasmi dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Focus dan konsistensi JDT tidak pernah luntur walaupun mengharungi jadual yang padat.
Pada 8 Oktober, JDT menampilkan aksi bertenaga di pentas ASEAN apabila membelasah PKR Svay Rieng FC dengan kemenangan 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Keputusan bergaya di dalam kempen Piala Shopee 2026/27 dengan rekod tanpa bolos itu pastinya memberikan suntikan moral kepada anak buah Xisco Muñoz menjelang cabaran seterusnya.
Tidak sampai 24 jam kemudian, pada petang 9 Oktober, Harimau Selatan kembali beraksi di gelanggang yang sama untuk menghadapi Penang FC dalam aksi suku akhir Piala FA 2026/27.
Pasukan Harimau Kumbang itu menjadi mangsa kepada JDT dengan kemenangan 4-1 untuk terus melangkah ke peringkat separuh akhir.
Bagi menguruskan kecergasan pemain dalam jadual back-to-back, Xisco Muñoz melakukan rombakan 100 peratus terhadap kesebelasan utama berbanding perlawanan sebelumnya.
Langkah ini memperlihatkan kelebihan “skuad depth”yang dimiliki JDT, dengan setiap pemain diberi peluang untuk memainkan peranan penting dalam misi memburu kemenangan buat pasukan.
Mentaliti kemenangan yang diterapkan dalam budaya kelab, bersama kepimpinan DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, terus menjadi antara tonggak penting dalam usaha JDT mengekalkan daya saing di setiap pentas yang disertai.
Selain itu, fasiliti sukan terbaik, kemudahan sains sukan dan juga sokongan moral Baginda terhadap pasukan ternyata merupakan antara faktor penting untuk kejayaan ini.
Dua perlawanan, dua kemenangan dalam tempoh kurang 24 jam.
Harimau Selatan terus membuktikan bahawa jadual padat bukan alasan untuk memperlahankan langkah. Akan tetapi setiap cabaran tersebut menjadi peluang untuk mereka terus mengaum dan mencipta kejayaan!





Comments