top of page

PIALA DUNIA: BANGKIT ATASI MESIR 3-2, ENZO FERNANDEZ JADI WIRA ARGENTINA

Writer: Editor
Editor
Jul 8
1 min read

Tandukan kemenangan Enzo Fernandez pada masa kecederaan memastikan Argentina melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2026 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Mesir 3-2 dalam aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Atlanta, awal pagi tadi.



Mesir terlebih dahulu mengejutkan juara dunia itu apabila Yasser Ibrahim meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-15.



Argentina berpeluang menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi sepakan penalti Lionel Messi, namun percubaan kapten itu berjaya diselamatkan penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir, sekali gus memastikan Mesir mengekalkan kelebihan 1-0 hingga tamat separuh masa pertama.


Bersambung babak kedua, Mesir terus menjarakkan kedudukan menerusi jaringan Mostafa Ziko yang meletakkan Argentina dalam keadaan tertekan.



Bagaimanapun, skuad bimbingan Lionel Scaloni mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit merapatkan kedudukan menerusi Cristian Romero sebelum Messi menebus kegagalan penaltinya dengan gol penyamaan untuk menjadikan kedudukan 2-2.



Ketika perlawanan seakan-akan berlanjutan ke masa tambahan, Enzo Fernandez muncul wira Argentina apabila menanduk masuk gol kemenangan pada masa kecederaan, sekali gus mengesahkan kemenangan dramatik 3-2 dan membawa juara dunia itu ke pentas suku akhir.



Sementara itu, Messi terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu carta penjaring Piala Dunia 2026 dengan lapan gol.


Bintang Argentina itu kini berada di hadapan pencabar terdekat, Erling Haaland dan Kylian Mbappe, yang masing-masing telah menjaringkan tujuh gol dalam saingan edisi kali ini.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page