top of page

PIALA DUNIA: ENGLAND MARA KE SEPARUH AKHIR, SINGKIR NORWAY SELEPAS MASA TAMBAHAN

  • Writer: Editor
    Editor
  • Jul 12
  • 2 min read

England menempah tempat ke separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Norway 2-1 menerusi masa tambahan dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Miami, awal pagi tadi.


Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Thomas Tuchel meneruskan kemaraan ke kelompok empat terbaik, manakala perjalanan cemerlang Norway dalam kejohanan kali ini berakhir di peringkat suku akhir.


England turun dengan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama apabila John Stones menggantikan Jarell Quansah yang menjalani penggantungan, manakala Noni Madueke diberi kepercayaan mengisi tempat Bukayo Saka.



Norway pula hanya melakukan satu pertukaran dengan Andreas Schjelderup menggantikan Antonio Nusa, sambil mengekalkan sebahagian besar barisan yang membawa mereka ke suku akhir.


Norway membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi Andreas Schjelderup yang melepaskan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti. Percubaan itu memperdayakan penjaga gol England, Jordan Pickford, yang menjangkakan bola tersebut merupakan hantaran lintang.



England bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama apabila Jude Bellingham mempamerkan aksi individu cemerlang sebelum melepaskan rembatan kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol Norway pada minit ke-45+2.



Memasuki babak kedua, Tuchel melakukan rombakan di jentera serangan dengan memasukkan Bukayo Saka dan Eberechi Eze bagi meningkatkan intensiti permainan England.


Norway hampir kembali mendahului pada minit ke-55 menerusi Torbjørn Heggem yang menolak masuk bola hasil situasi kelam-kabut selepas sepakan penjuru. Namun, jaringan itu dibatalkan selepas pengadil mengesan kekasaran terhadap Elliot Anderson.


Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga tamat 90 minit permainan, sekali gus memaksa perlawanan diteruskan ke masa tambahan.


England akhirnya memperoleh gol kemenangan pada minit ke-93 apabila Bellingham pantas menyambar bola muntah hasil percubaan Morgan Rogers yang ditepis penjaga gol Norway, sekali gus melengkapkan dua jaringan peribadinya dalam perlawanan itu.


The Three Lions turut berpeluang melebarkan kelebihan pada minit ke-99 selepas diberikan sepakan penalti susulan insiden melibatkan Oscar Bobb dan Djed Spence. Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan tiada kekasaran berlaku.


Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat masa tambahan, sekali gus memastikan England melangkah ke separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026.


England kini akan menantikan pemenang satu lagi aksi suku akhir antara Argentina dan Switzerland dalam perebutan tiket ke pentas final, dengan perlawanan separuh akhir dijadual berlangsung pada 16 Julai.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page