PIALA DUNIA: KAD MERAH EMBOLO MELAKUKAN SIMULASI, MERANAPKAN IMPIAN SWITZERLAND
- Editor

- Jul 12
- 2 min read

Harapan Switzerland untuk melangkah ke separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 musnah selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan kad merah yang dilayangkan kepada penyerang, Breel Embolo, dalam aksi suku akhir menentang Argentina.
Penyerang Switzerland itu, diperintah keluar padang selepas didapati melakukan simulasi dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026 menentang Argentina di Stadium Kansas City, sekali gus memberi tamparan besar kepada pasukannya.
Insiden berlaku pada minit ke-72 apabila Embolo pada mulanya dilihat dijatuhkan oleh pemain tengah Argentina, Leandro Paredes, menyebabkan pengadil dari Portugal, Joao Pinheiro, melayangkan kad kuning kepada Paredes.

Bagaimanapun, keputusan itu diubah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Embolo sebenarnya menjatuhkan diri sebelum berlaku sentuhan daripada Paredes.
Susulan penemuan itu, Pinheiro menarik balik kad kuning yang diberikan kepada Paredes dan sebaliknya melayangkan kad kuning kepada Embolo kerana melakukan simulasi.
Keputusan tersebut dibuat berdasarkan peraturan baharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai pembetulan kesilapan identiti, yang membolehkan pengadil mengubah tindakan disiplin selepas semakan VAR sekiranya hukuman asal diberikan kepada pemain yang tidak melakukan kesalahan.
Embolo, 29, sebelum itu sudah menerima kad kuning pada penghujung babak pertama akibat satu kekasaran, sekali gus menyebabkan kad kuning kedua yang diterimanya membawa kepada kad merah dan arahan meninggalkan padang.
Selepas keputusan itu diumumkan, Embolo dilihat tidak dapat menahan emosi apabila menangis sebelum ditenangkan beberapa rakan sepasukan ketika meninggalkan padang.
Kehilangan penyerang utama itu memaksa Switzerland meneruskan baki perlawanan dengan 10 pemain, sekali gus menjejaskan usaha mereka untuk mencabar juara bertahan, Argentina, bagi merebut tempat ke separuh akhir Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, kekurangan seorang pemain memberi kelebihan kepada Argentina yang menguasai permainan sepanjang masa tambahan sebelum menjaringkan dua gol menerusi Julián Álvarez pada minit ke-112 dan Lautaro Martínez pada penghujung perlawanan untuk mencatat kemenangan 3-1.
Keputusan itu menamatkan kempen cemerlang Switzerland di pentas Piala Dunia 2026, manakala Argentina mengesahkan tempat ke separuh akhir untuk bertemu England.





Comments