PIALA DUNIA: KEBANGKITAN ARGENTINA PADA BABAK AKHIR, MUSNAHKAN IMPIAN ENGLAND


Juara bertahan, Argentina, meneruskan kemaraan penuh dramatik ke pentas final Piala Dunia 2026 selepas bangkit menewaskan England 2-1 dalam aksi separuh akhir di Stadium Atlanta, sekali gus menghidupkan impian mempertahankan kejuaraan.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Lionel Scaloni bakal berdepan Sepanyol dalam perlawanan akhir, selepas sekali lagi mempamerkan semangat juang tinggi dengan mencipta kebangkitan pada penghujung perlawanan.
Kedua-dua pasukan memulakan aksi dengan tempo tinggi dan permainan fizikal apabila pengadil terpaksa melayangkan tiga kad kuning sepanjang babak pertama yang berakhir tanpa jaringan.

England akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-55 menerusi Anthony Gordon yang tenang menyempurnakan peluang untuk meletakkan The Three Lions di hadapan 1-0.
Ketika England dilihat berada di landasan terbaik untuk melangkah ke final, Argentina bangkit mengubah rentak permainan pada penghujung perlawanan dengan kapten pasukan, Lionel Messi, memainkan peranan penting sebagai pencetus kebangkitan.

Enzo Fernandez menyamakan kedudukan pada minit ke-85 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol England, sekali gus mengembalikan semangat juang skuad Albiceleste.
Argentina terus mengasak kubu England selepas jaringan penyamaan itu, termasuk satu percubaan yang terkena tiang gol ketika tekanan semakin memuncak.

Kebangkitan dramatik Argentina akhirnya disempurnakan pada masa kecederaan apabila Lautaro Martinez, yang baru dimasukkan sebagai pemain gantian, menanduk masuk gol kemenangan hasil hantaran tepat Messi untuk memastikan kemenangan 2-1.
Kekalahan itu menamatkan cabaran England di pentas separuh akhir, manakala Argentina kini hanya selangkah lagi untuk mempertahankan gelaran dunia dengan menanti cabaran Sepanyol dalam aksi final yang dijangka berlangsung penuh sengit.





Comments