top of page

PIALA FA: KELANTAN CITY KEJUTKAN N.SEMBILAN 2-0, BAWA BEKALAN SELESA KE PAROI

Writer: Editor
Editor
Sep 2
1 min read

Kelantan City memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-0 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.



Tuan rumah tampil agresif sejak awal permainan dan berjaya membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi tandukan Ahmad Nazri yang mudah menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Syahmi Adib.


Jaringan itu terhasil selepas Ahmad Nazri menyudahkan hantaran kemas daripada Faris Shah untuk memberikan Kelantan City kelebihan 1-0.


Memasuki babak kedua, Negeri Sembilan yang dikendalikan Daniel Gimenez Alcaniz cuba meningkatkan tekanan dengan melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memperkuatkan jentera serangan.


Bagaimanapun, barisan pertahanan Kelantan City kekal berdisiplin dan berjaya mengekang beberapa percubaan serta siri serangan pasukan pelawat.


Ketika perlawanan menuju penghujung permainan, Kelantan City sekali lagi menghukum kesilapan mudah pertahanan Negeri Sembilan menerusi satu serangan balas pantas.


Emmanuel Uzochukwu muncul sebagai penyudah apabila berjaya menewaskan Azri Ghani untuk menggandakan kelebihan tuan rumah kepada 2-0.


Keputusan itu kekal sehingga tamat 90 minit, sekali gus menyaksikan Kelantan City membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selasa depan.


Kemenangan itu turut meletakkan skuad kendalian Wanderley Machado dalam kedudukan lebih baik untuk memburu tiket ke suku akhir Piala FA.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page