PIALA FA: PENANG ATASI MELAKA 2-1, MARA KE SUKU AKHIR PIALA FA


Penang bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Melaka 2-1 pada aksi kedua pusingan 16 Piala FA di Stadium Bandaraya, di sini, malam ini sekali gus mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 3-1.
Penang yang membawa bekalan kemenangan 1-0 daripada aksi pertama di Stadium Hang Jebat minggu lalu, bagaimanapun berdepan tentangan sengit Melaka yang tampil agresif sejak awal permainan.
Kedua-dua pasukan beraksi seimbang dengan masing-masing saling melancarkan serangan dalam usaha membuka tirai jaringan, namun kedudukan kekal tanpa gol sehingga memasuki babak kedua.
Melaka akhirnya memecah kebuntuan menerusi Kpah Sherman pada minit ke-65 selepas penyerang itu bijak menghidu lintangan Azwan Ripin sebelum melakukan gerakan mengelirukan dan melepaskan rembatan ke penjuru kanan atas gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol Penang, Khairulazhan Khalid.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Penang menyamakan kedudukan menerusi Stefano Brundo pada minit ke-74.
Brundo melepaskan sepakan percuma menarik yang terus menerjah gawang Melaka untuk menghidupkan kembali peluang tuan rumah memastikan kemaraan tanpa perlu melalui masa tambahan.
Melaka kemudian meningkatkan tekanan bagi mencari gol kemenangan pada aksi tersebut, namun usaha mereka untuk kembali mendahului tidak berhasil.
Sebaliknya, Penang memastikan kemenangan apabila Enzo Celestine menjaringkan gol pada waktu kecederaan, sekali gus melengkapkan kebangkitan skuad Harimau Kumbang untuk menamatkan saingan dengan kemenangan 2-1.
Keputusan itu menyaksikan Penang mara ke peringkat suku akhir Piala FA dengan kelebihan agregat 3-1.





Comments