top of page

SELANGOR PERKUKUH BENTENG PERTAHANAN DENGAN KEHADIRAN JEFFERSON TABINAS

  • Writer: Editor
    Editor
  • Jul 1
  • 2 min read

Selangor FC terus memperkukuh persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027 apabila mengesahkan kehadiran pemain berdarah campuran Jepun-Filipina-Ghana, Jefferson Tabinas.


Pertahanan berusia 28 tahun itu menjadi pemain import pertama yang dibawa masuk Gergasi Merah bagi menghadapi musim baharu, selain muncul sebagai rekrut keempat pasukan selepas perpindahannya diumumkan menerusi semua platform media sosial rasmi kelab pada Rabu.


Tabinas menyertai Selangor selepas menamatkan tempoh semusim bersama kelab Thailand, Chonburi FC, sekali gus bakal membuat penampilan sulung dalam kancah Liga Malaysia.


Menurut pemain antarabangsa Filipina itu, keputusan menyertai Selangor dibuat selepas beliau meneliti sejarah, budaya dan hala tuju kelab yang disifatkan memiliki asas kukuh untuk terus mencipta kejayaan.


"Selangor FC merupakan sebuah kelab yang mempunyai sejarah gemilang, penyokong yang cukup bersemangat serta cita-cita yang jelas untuk terus berkembang. Itulah antara sebab utama saya memilih untuk menyertai Gergasi Merah," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan kelab.


Beliau turut berharap pengalaman beraksi di Jepun dan Thailand dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu Selangor merealisasikan sasaran yang ditetapkan serta menghadiahkan kejayaan kepada penyokong.


Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, Kim Pan-gon, menyifatkan kehadiran Tabinas sebagai suntikan penting buat pasukan berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki pemain itu di dua liga kompetitif Asia.


Menurutnya, Tabinas bukan sahaja memiliki kualiti teknikal yang tinggi, malah turut menampilkan disiplin taktikal, kebijaksanaan ketika mengawal bola serta keupayaan beraksi di beberapa posisi.


"Jefferson telah membuktikan dirinya di dua liga paling kompetitif di Asia, iaitu Jepun dan Thailand. Beliau memahami apa yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi serta memiliki mentaliti seorang pemain yang sentiasa berusaha untuk menang," katanya.


Kehadiran Tabinas dijangka memperkukuhkan benteng pertahanan Selangor dalam usaha pasukan kendalian Kim Pan-gon menghadapi cabaran musim 2026/2027 dengan sasaran lebih kompetitif di pentas domestik dan Asia.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page