PIALA FA: SELANGOR ATASI SABAH 2-1, MARA KE SUKU AKHIR PIALA FA


Selangor FC terpaksa mengharungi aksi sengit sebelum menewaskan Sabah FC 2-1 dalam perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA di Stadium Petaling Jaya, malam tadi, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan kemenangan agregat 4-3.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah meneruskan cabaran dalam saingan Piala FA selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam pertemuan pertama di Stadium Likas, minggu lalu.
Beraksi di hadapan stadium tanpa kehadiran penonton susulan hukuman dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan insiden kekecohan membabitkan penyokong, Selangor tetap tampil bersemangat untuk memburu kemenangan.
Usaha skuad kendalian mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-36 apabila Eduardo Sosa memecah kebuntuan menerusi satu percubaan dari dalam kawasan penalti yang menerjah gawang Sabah.
Sosa yang menerima bola dengan baik berjaya melepaskan rembatan walaupun kelihatan tergelincir ketika melakukan percubaan, namun keadaan itu tidak menghalang bola daripada menewaskan penjaga gol Sabah, Juan Flere.
Sabah kemudian bangkit sebaik babak kedua bermula dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-49.
Park Jung-bin pantas mengambil kesempatan terhadap kesilapan Harith Haiqal Adam Afkar sebelum melepaskan rembatan jarak dekat yang gagal diselamatkan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Bagaimanapun, Selangor kembali di hadapan hanya tujuh minit kemudian selepas dianugerahkan sepakan penalti susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Semakan mendapati Farhan Roslan melakukan kekasaran terhadap Sosa dalam kawasan penalti, sekali gus memberikan peluang terbaik buat Selangor untuk kembali memimpin permainan.
Chrigor Moraes tampil sebagai wira apabila menyempurnakan sepakan penalti berkenaan untuk menghasilkan gol kedua Selangor, meskipun percubaan pertamanya berjaya ditepis Flere.
Jaringan tersebut sudah cukup untuk memastikan Selangor mengekalkan kelebihan sehingga tamat permainan dan menempah tiket ke suku akhir Piala FA dengan agregat 4-3.





Comments