TRAGIS KEDAH DARUL AMAN FC, KINI JATUH TERSUNGKUR KE LIGA A2
- Editor

- 5 hours ago
- 2 min read

Satu ketika dahulu, nama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) cukup digeruni dalam arena bola sepak tempatan apabila sering muncul pencabar utama kejuaraan domestik. Namun, segala kegemilangan itu kini hanya tinggal kenangan selepas kelab berstatus profesional itu disahkan tersingkir ke Liga A2 musim hadapan.
Lebih memilukan, penyingkiran itu hadir bersama rekod cukup memalukan apabila KDA menamatkan kempen Liga A1 Semi-Pro di tangga tercorot dengan hanya mengutip satu mata sepanjang musim.
Daripada 28 perlawanan yang diharungi, Sang Kenari gagal mencatat sebarang kemenangan dan tewas sebanyak 27 kali berturut-turut — satu rekod hitam yang belum pernah berlaku dalam sejarah kelab itu.
Prestasi hambar turut diterjemahkan menerusi statistik apabila KDA hanya menjaringkan sembilan gol sepanjang musim, selain dibolosi sebanyak 93 kali yang sekali gus menggambarkan betapa rapuhnya keseluruhan pasukan.
Kejatuhan mendadak itu dianggap simbol kepada kemelut panjang yang menghantui kelab berkenaan sejak beberapa musim lalu.
Dua musim lalu, KDA masih lagi bersaing dalam Liga Super dan dilihat sebagai antara pasukan tradisi yang memiliki penyokong paling fanatik di negara ini.
Namun, masalah tunggakan gaji, krisis pengurusan serta isu kewangan yang berpanjangan akhirnya mula meruntuhkan kestabilan pasukan sedikit demi sedikit.
Penurunan ke Liga A1 sebelum ini diharap mampu menjadi titik permulaan baharu buat KDA untuk membina semula kekuatan dan kembali bangkit ke pentas utama bola sepak negara.
Sebaliknya, masalah luar padang terus menghimpit sehingga menjejaskan moral pemain dan keseluruhan operasi pasukan, sekali gus menyebabkan mereka gagal keluar daripada kemelut berkenaan.
Di sebalik kejatuhan KDA, muncul pula satu perkembangan menarik yang kembali menghidupkan harapan penyokong Hijau Kuning apabila Kedah FA tampil dengan kebangkitan luar biasa musim ini.
Entiti Persatuan Bola Sepak Kedah itu berjaya menamatkan saingan Liga A1 di kedudukan ketiga terbaik, sekali gus mencuri perhatian ramai selepas kembali aktif dalam kancah bola sepak tempatan.
Namun, perjalanan cemerlang Kedah FA tidak cukup untuk menghadiahkan tiket promosi ke Liga Super susulan regulasi Malaysian Football League (MFL) yang hanya membenarkan kelab profesional berstatus FC untuk beraksi di liga utama.
Situasi itu meninggalkan perasaan bercampur baur buat penyokong Kedah yang kini menyaksikan satu entiti jatuh tersungkur, manakala satu lagi mula menunjukkan sinar kebangkitan.
Bagi sebahagian besar penyokong, kemunculan semula Kedah FA dianggap sebagai peluang terbaik untuk mengembalikan semula maruah bola sepak negeri itu selepas kegagalan projek penswastaan KDA FC.
Apa yang berlaku kepada KDA juga menjadi pengajaran besar kepada industri bola sepak tempatan bahawa kekuatan sesebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada nama besar dan sejarah semata-mata.
Sebaliknya, kestabilan kewangan, pengurusan profesional dan ekosistem yang sihat menjadi tunjang utama untuk memastikan sesebuah kelab mampu terus bertahan dalam saingan moden bola sepak hari ini.
Kini, persoalan terbesar yang bermain di fikiran penyokong Hijau Kuning ialah sama ada KDA mampu bangkit semula daripada kehancuran ini atau Kedah FA bakal menjadi wajah baharu yang membawa harapan bola sepak negeri jelapang padi itu pada masa hadapan.





Comments