top of page

ZAMSAHAM TAMPIL SEMULA, JAWAB ISU TRW KELANTAN DAN KELANTAN RW

Writer: Editor
Editor
Sep 3
3 min read

Selepas hampir setahun menyepi daripada perkembangan bola sepak Kelantan, pemilik TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa isu lama yang dikaitkan dengan kelab itu serta perkembangan semasa Kelantan Red Warriors (KRW).


Menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, Zamsaham berkata beliau mengambil keputusan untuk menjelaskan beberapa perkara termasuk isu penggunaan logo TRW dan konsep Reborn, tunggakan gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain dakwaan bahawa beliau menjadi punca kemerosotan bola sepak Kelantan.



Zamsaham menjadi pemilik TRW Kelantan FC pada 2020 selepas mengambil alih pegangan majoriti dalam kelab berkenaan menerusi pelaburan yang mencecah jutaan ringgit.


Bagaimanapun, TRW Kelantan FC kemudian berdepan pelbagai masalah kewangan termasuk isu tunggakan gaji yang menyaksikan sejumlah pemain dan kakitangan meninggalkan pasukan.


Situasi berkenaan akhirnya menyaksikan kelab itu tidak dapat meneruskan saingan Liga Super selepas rayuan permohonan Lesen Kebangsaan ditolak Malaysia Football League (MFL) pada tahun lalu.


Menurut Zamsaham, isu penggunaan logo TRW dan konsep Reborn berlaku selepas pihak KRW turut menggunakan identiti berkenaan, yang menurutnya berpotensi menimbulkan persoalan daripada pihak yang mempunyai hak terhadap logo dan konsep terbabit.



Beliau berkata, pihak yang merasakan hak mereka terjejas mempunyai hak untuk membuat laporan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), manakala beliau tidak mempunyai kawalan terhadap tindakan mana-mana pihak.


"Saya percaya FIFA mempunyai prosedur dan penilaian tersendiri dalam perkara seperti ini. Saya tidak mempunyai kawalan terhadap tindakan mana-mana pihak yang merasakan hak mereka terjejas," katanya.


Mengenai isu tunggakan gaji dan caruman KWSP, Zamsaham mendakwa sebahagian besar hutang berkaitan kakitangan TRW telah diselesaikan olehnya sendiri, kecuali beberapa perkara yang membabitkan pemain import.


Beliau turut menegaskan bahawa ketika menghadapi masalah berkenaan, beliau cuba menyelesaikannya sendiri dan tidak pernah meminta mana-mana pihak membuat laporan kepada FIFA.


Dalam pada itu, Zamsaham menolak dakwaan bahawa beliau bertanggungjawab menghancurkan bola sepak Kelantan, sebaliknya meminta orang ramai menilai sendiri sumbangannya ketika mengambil alih TRW.


Katanya, ketika mengambil alih kelab berkenaan, TRW berada dalam keadaan kewangan yang amat mencabar dengan jumlah hutang melebihi RM8 juta.


"Saya kemudiannya menyelesaikan hutang berjumlah lebih RM8 juta. Jika pada hari ini masih terdapat hutang, jumlahnya tidaklah sebanyak ketika saya mula mengambil alih dahulu," katanya.


Beliau berkata, antara pencapaian yang dilakukannya ketika menerajui TRW ialah menyelesaikan masalah hutang, mengatasi sekatan perpindahan pemain (transfer ban) serta membuka ruang kepada pasukan mendapatkan khidmat pemain import.


"Saya tidak pernah berniat untuk menghancurkan bola sepak Kelantan. Sebaliknya, saya telah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan dan memastikan TRW terus bertahan.


"Jika saya dianggap punca, saya terima. Kalau ada yang mahu mengatakan saya adalah punca kepada segala masalah ini, itu terpulang kepada mereka," katanya.


Zamsaham turut mendakwa terdapat hutang Persatuan Bola Sepak Kelantan berjumlah kira-kira RM3 juta kepadanya, namun memilih untuk tidak memperbesarkan perkara itu kerana memahami keadaan kewangan persatuan berkenaan pada ketika itu.


Katanya, selepas berundur daripada TRW, beliau memilih untuk berdiam diri dan tidak mencampuri urusan KRW.


Bagaimanapun, beliau berkata namanya masih dikaitkan apabila timbul pelbagai masalah membabitkan bola sepak Kelantan.


Dalam perkembangan berkaitan, Zamsaham mendedahkan beliau turut mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi dan Nasken pada awal tahun ini.


Beliau berkata, pertemuan itu turut digunakan untuk mengingatkan pihak berkenaan mengenai keperluan menyelesaikan masalah sekatan perpindahan pemain dengan segera bagi memastikan kekuatan serta kelangsungan pasukan KRW.


"Saya tidak mahu perkara ini terus dipanjangkan atau menjadi pertelingkahan. Kepada semua yang memahami keadaan saya, saya memilih untuk terus berdiam diri daripada memberikan terlalu banyak komen mengenai bola sepak.


"Saya juga tidak mahu meraih simpati daripada sesiapa. Apa yang saya minta hanyalah doa agar saya diberikan kekuatan dan dipermudahkan untuk bangkit semula serta menyelesaikan baki hutang perniagaan dan segala perkara berkaitan," katanya.


Zamsaham pada masa sama berharap segala kemelut yang berlaku dapat diselesaikan secara baik demi kepentingan KRW, penyokong dan semua pihak yang berkaitan.


Sementara itu, Kelantan RW dijangka terus berdepan kekangan untuk mendaftarkan pemain baharu pada jendela perpindahan pertama musim ini, dengan tarikh tutup pendaftaran ditetapkan pada 3 September 2026.


Perkembangan itu sekali gus menambah cabaran buat pasukan berkenaan dalam usaha memperkuatkan skuad bagi menghadapi saingan musim ini.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page