ACLE: SAFRECCE HIROSHIMA PERLU WASPADA ANCAMAN JDT - BARTOSH GAUL
- Editor

- Mar 4
- 2 min read

Menjelang pertembungan sengit pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite (ACLE), ketua jurulatih Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul mengakui bahawa barisan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) memiliki kualiti yang mampu menggugat perancangan pasukannya dalam usaha membawa pulang keputusan positif dari perlawanan pertama.
Pertembungan yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim malam ini dijangka berlangsung dalam suasana penuh sengit apabila kedua-dua pasukan turun dengan misi besar untuk mencipta kelebihan sebelum aksi timbal balik yang dijadual berlangsung di Hiroshima pada 11 Mac depan.
Ketika ditanya mengenai pemain JDT yang dianggap sebagai ancaman utama kepada pasukannya, Gaul enggan menumpukan perhatian kepada mana-mana individu tertentu, sebaliknya menegaskan bahawa keseluruhan skuad Harimau Selatan memiliki kemampuan yang boleh memberi masalah kepada pasukannya.
Menurut pengendali kelahiran Jerman itu, JDT bukan sahaja memiliki pemain import berkualiti tinggi, malah turut dibarisi pemain tempatan berpengalaman yang mampu memberikan impak besar sepanjang perlawanan.
“JDT memiliki ramai pemain hebat dan berkualiti. Namun bagi saya, daripada terlalu fokus kepada seorang pemain sahaja, perkara paling penting ialah kami memberi tumpuan kepada permainan kami sendiri,” katanya ketika ditemui menjelang aksi tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan terbaik buat Sanfrecce Hiroshima adalah dengan mengekalkan fokus terhadap corak permainan sendiri serta menampilkan prestasi terbaik di atas padang.
Tambahnya, keyakinan yang ditunjukkan oleh para pemain melalui permainan yang tersusun dan berdisiplin amat penting bagi memastikan mereka mampu mengawal rentak perlawanan di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah.
“Apa yang paling penting ialah fokus kepada persembahan kami sendiri. Menyerlahkan keyakinan melalui permainan di atas padang amat penting untuk perlawanan esok,” katanya lagi.
Gaul turut menegaskan bahawa aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim ini sangat penting buat pasukannya kerana keputusan yang diperoleh bakal memberi kelebihan psikologi menjelang perlawanan timbal balik di Jepun.
Justeru, beliau berharap anak buahnya mampu memanfaatkan setiap peluang yang terhasil bagi meraih bekalan selesa sebelum beraksi di laman sendiri pada perlawanan kedua nanti.
Dalam masa sama, perlawanan tersebut turut dilihat sebagai pentas kebangkitan buat JDT yang pastinya mahu menebus kekalahan sebelum ini kepada lawan sama.
Untuk rekod, Harimau Selatan pernah tewas 2-1 kepada Sanfrecce Hiroshima ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi peringkat kumpulan Zon Timur ACLE sebelum ini.
Keputusan tersebut pastinya masih segar dalam ingatan skuad kendalian Xisco Muñoz yang kini bertekad untuk membalas kekalahan tersebut, lebih-lebih lagi apabila mereka beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Dengan reputasi kedua-dua pasukan yang cukup besar di rantau masing-masing, pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim itu dijangka menjadi antara aksi paling menarik dalam pusingan 16 terbaik ACLE musim ini.





Comments