ACLE: DENDAM TERBALAS, “THREE ARROWS HIROSHIMA” BOLOS TIGA GOL DI SSI
- Editor

- Mar 5
- 3 min read

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan penting apabila menewaskan kelab gergasi Jepun, Sanfrecce Hiroshima 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.
Kemenangan itu memberi kelebihan berharga buat skuad Harimau Selatan sebelum mengharungi aksi timbal balik yang dijadualkan berlangsung di Hiroshima, Jepun pada 11 Mac ini.
Seperti dijangka, kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu kemenangan bagi membawa bekalan selesa menjelang perlawanan kedua nanti. Pengendali JDT, Xisco Munoz, mempertaruhkan penyerang berbisa Jairo da Silva untuk mengetuai jentera serangan tuan rumah, dibantu oleh Joao Figueiredo serta pemain tengah kreatif, Nacho Mendez.

Sementara itu, Sanfrecce Hiroshima pula mempertaruhkan penyerang muda berbakat, Akito Suzuki sebagai sandaran utama untuk mengancam kubu JDT.
Sejurus wisel permulaan ditiup, JDT terus mempamerkan corak permainan agresif dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang pelawat. Percubaan demi percubaan dilakukan oleh Jairo, Figueiredo dan Mendez dalam usaha mencari gol pembukaan.
Tekanan berterusan yang dilakukan skuad Harimau Selatan memaksa barisan pertahanan Sanfrecce yang diketuai penjaga gol, Keisuke Osako bekerja keras untuk menafikan setiap peluang yang terhasil.
Namun begitu, JDT menerima tamparan awal apabila terpaksa melakukan pertukaran pemain pada minit ke-25 selepas tonggak tengah, Natxo Insa mengalami kecederaan dan tidak mampu meneruskan permainan. Tempatnya digantikan oleh pemain tengah dari Sepanyol, Ager Aketxe.
Situasi bertambah sukar buat pelawat apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain tiga minit kemudian. Pemain pertahanan dari Korea Selatan, Kim Ju-sung dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil selepas didapati menyiku pemain sayap JDT, Rui Nene dalam satu insiden perebutan bola.

Kelebihan seorang pemain cuba dimanfaatkan sepenuhnya oleh JDT yang terus menggandakan tekanan ke arah kubu Sanfrecce. Pada minit ke-33, Nacho Mendez hampir memecah kebuntuan apabila rembatan kencangnya dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan Osako, namun bola sekadar terkena tiang gol.
Walaupun beberapa peluang terhasil, keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Sanfrecce Hiroshima cuba menyegarkan jentera mereka dengan memasukkan Naoto Arai sebagai menggantikan Motoki Ohara.
Namun, perubahan itu tidak mampu mengekang asakan berterusan JDT. Sorakan lebih 30,000 penyokong di Stadium Sultan Ibrahim akhirnya bergema pada minit ke-52 apabila pemain gantian, Ager Aketxe berjaya membuka tirai jaringan buat tuan rumah.
Gol tersebut tercipta hasil gerakan kemas di bahagian serangan yang menyaksikan Aketxe menyempurnakan peluang dengan rembatan tepat menewaskan Osako.
Gol pembukaan itu jelas menaikkan semangat pemain JDT yang terus menekan pasukan pelawat. Hasilnya, pada minit ke-63, penyerang sensasi JDT, Bergson da Silva menggandakan kelebihan pasukan apabila berjaya menjaringkan gol kedua.

Gol tersebut berpunca daripada gerakan pantas di bahagian serangan yang menyaksikan Bergson bijak mengambil kesempatan di hadapan gawang untuk menewaskan penjaga gol lawan.
Ketika Sanfrecce Hiroshima cuba bangkit mencari gol, JDT sekali lagi menghukum kelalaian pertahanan pelawat apabila Marcos Guilherme meledakkan gol ketiga pada minit ke-85, sekali gus meletakkan Harimau Selatan dalam kedudukan selesa.
Bagaimanapun, kegembiraan tuan rumah sedikit tercalar apabila Sanfrecce Hiroshima berjaya meraih gol saguhati seminit kemudian menerusi jaringan sendiri pemain JDT, Rui Nene.
Walaupun pelawat cuba memanfaatkan momentum tersebut untuk menambah jaringan, pertahanan JDT kekal ampuh sehingga wisel penamat dibunyikan dengan keputusan 3-1 kekal memihak kepada Harimau Selatan.
Kemenangan ini bukan sahaja memberi kelebihan dua gol kepada JDT menjelang aksi timbal balik di Jepun, malah turut dianggap sebagai misi membalas dendam terhadap pasukan sama.
Sebelum ini, JDT tewas 2-1 kepada Sanfrecce Hiroshima dalam pertemuan peringkat kumpulan Liga Timur ACLE.
Dalam pada itu, penjaga gol Sanfrecce Hiroshima, Keisuke Osako dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan berdasarkan penilaian laman statistik Sofascore dengan markah 8.8 selepas mempamerkan beberapa aksi menyelamat cemerlang sepanjang perlawanan.
Beliau diikuti rapat oleh pemain tengah JDT, Ager Aketxe yang mencuri perhatian dengan prestasi cemerlang termasuk satu gol penting, sekali gus meraih penilaian 8.4 mata.
Dengan bekalan kemenangan 3-1, JDT kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk melangkah ke suku akhir ACLE, namun skuad kendalian Xisco Munoz dijangka tetap perlu berwaspada ketika beraksi di laman lawan pada aksi timbal balik nanti.





Comments