ADA TUGAS YANG BELUM SELESAI, NAFUZI ZAIN KEMBALI KE TFC


Bekas ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain, dilaporkan bakal kembali membimbing Terengganu FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2026/27.
Pengendali berusia 47 tahun itu dijangka meninggalkan tugasnya bersama skuad Harimau Muda sebelum kembali ke Kuala Terengganu, sekali gus menyaksikan beliau memulakan era kedua bersama Sang Penyu. Turut dijangka menyertainya ialah jurulatih penjaga gol, Yazid Yassin.
“Kepulangan Nafuzi Zain menandakan masih ada tugas yang belum selesai dalam usaha membina semula kekuatan pasukan serta mengembalikan Terengganu ke landasan yang lebih kukuh,” menurut sumber terdekat pasukan.
Sebelum mengendalikan skuad B-23 kebangsaan, Nafuzi pernah membimbing Kedah Darul Aman dalam saingan Liga Super selepas meninggalkan Terengganu pada penghujung musim 2022.
Sekiranya pelantikan tersebut dimuktamadkan, ia akan menjadi kali kedua Nafuzi mengemudi Sang Penyu selepas tempoh pertamanya bersama kelab itu dari tahun 2019 hingga 2022, yang menyaksikan beliau berjaya mengangkat semula reputasi Terengganu sebagai antara pencabar utama dalam Liga Malaysia.





Comments