top of page

ADAKAH TIADA AKSI PERSAHABATAN ANTARABANGSA DALAM KALENDER FAM ?

  • Writer: Editor
    Editor
  • 13 hours ago
  • 1 min read

Ketiadaan sebarang aksi persahabatan antarabangsa skuad kebangsaan pada kalendar FIFA bulan Jun menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.


Ketika beberapa negara Asia Tenggara seperti Filipina, Thailand, Indonesia dan Singapura giat mengatur perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi saingan akan datang, Malaysia pula dilihat sepi tanpa sebarang pengumuman rasmi.


Situasi itu sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memastikan skuad Harimau Malaya terus kekal kompetitif di pentas antarabangsa.


Penyokong berpendapat aksi persahabatan bukan sahaja penting untuk menguji kekuatan pasukan, malah mampu membantu memperbaiki kedudukan ranking FIFA negara.


Malaysia sebelum ini dilaporkan kehilangan sejumlah mata ranking susulan beberapa keputusan kurang memberangsangkan dalam aksi kompetitif antarabangsa.


Justeru, ramai melihat jendela antarabangsa bulan Jun sebagai peluang terbaik buat skuad kebangsaan menambah mata ranking walaupun dalam jumlah kecil.


“Kita tengok negara jiran semua sibuk buat persiapan dan atur perlawanan persahabatan. Malaysia pula tiada apa-apa khabar. Persoalannya, FAM memang lupa cari lawan atau memang dah rancang tak nak buat?” kata seorang penyokong di media sosial.


Selain aspek ranking, aksi persahabatan turut dianggap penting bagi membantu barisan kejurulatihan menilai prestasi pemain serta memberi peluang kepada muka baharu membuktikan kemampuan.


Dalam perkembangan sama, penyokong berharap FAM dapat memberikan penjelasan berhubung perancangan skuad kebangsaan bagi tempoh jendela antarabangsa akan datang.


Ini kerana mereka tidak mahu Harimau Malaya terus ketinggalan berbanding pencabar serantau yang kini semakin agresif memperkukuhkan pasukan masing-masing menjelang kejohanan utama Asia Tenggara dan Asia.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page