top of page

PIALA ASEAN FIFA: BERGSON ANGGAP DEBUT HARIMAU MALAYA SEBAGAI DETIK ISTIMEWA

Writer: Editor
Editor
Sep 22
2 min read

Penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Bergson da Silva, menyifatkan pemanggilan pertamanya ke skuad kebangsaan sebagai detik yang sukar dilupakan, selepas lebih lima tahun beraksi dalam kancah bola sepak Malaysia.


Pemain berusia 35 tahun itu berkata peluang menyarung jersi negara hadir seperti sebuah mimpi, apatah lagi selepas sekian lama membina kerjaya di Malaysia dan mencipta nama sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super.



"Berada di sini satu perasaan yang bagus. Saya nikmati momen ini dan bekerja keras bersama rakan sepasukan.


"Saya tidak pernah menjangka akan berada di sini. Ia seperti mimpi buat diri saya dan keluarga. Selepas berada di sini lebih lima tahun, dapat mewakili negara dan jersi ini adalah satu penghormatan buat saya," katanya.


Bergson yang kini bersiap untuk menghadapi Piala ASEAN FIFA 2026 berkata harapan tinggi penyokong akan dijadikan motivasi untuk membantunya menyesuaikan diri dengan tuntutan sebagai pemain kebangsaan.


"Saya ambil jangkaan orang ramai sebagai tanggungjawab, bukan tekanan kerana setiap langkah dalam hidup mempunyai sasaran. Saya sentiasa mahu bersama pasukan.


"Sebelum ini saya menyaksikan perlawanan Malaysia dan melihat rakan sepasukan beraksi. Mereka kata atmosfera berbeza apabila menyarung jersi ini dan kini saya dapat merasainya sendiri," katanya.


Dalam pada itu, Bergson tidak mahu Malaysia menganggap mudah cabaran dalam saingan Kumpulan yang turut dihuni Bangladesh, Indonesia dan Singapura.


Menurutnya, setiap lawan mempunyai kekuatan tersendiri dan skuad Harimau Malaya perlu mengekalkan fokus sepanjang kejohanan.


"Tiada perlawanan mudah. Setiap pasukan bekerja keras untuk menang dan aksi menentang Bangladesh, Singapura serta Indonesia tidak akan mudah.


"Kami akan cuba meraih kemenangan bersama sebagai satu pasukan. Kejohanan ini juga akan menjadi pengalaman yang baik buat kami," katanya.


Bergson merupakan antara tiga pemain naturalisasi dari Johor Darul Ta'zim (JDT) yang disenaraikan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, bersama Brad Tapp dan Manuel Hidalgo.


Malaysia membuka kempen menentang Bangladesh pada 25 September, sebelum berdepan Indonesia pada 28 September dan Singapura pada 1 Oktober.


Dengan pengalaman luas dalam bola sepak tempatan, Bergson kini mempunyai peluang untuk memainkan peranan dalam cabaran pertama Harimau Malaya di pentas Piala ASEAN FIFA 2026.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page