AKUI SELANGOR FC TIDAK BERNASIB BAIK, JADIKAN PENGALAMAN BERHARGA
- Editor

- 18 hours ago
- 1 min read

Penyerang berbisa Faisal Halim mengakui Selangor FC memperoleh pengajaran besar meskipun terpaksa menamatkan kempen Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 selaku naib juara selepas tewas kepada Buriram United.
Menurut Faisal, Selangor sebenarnya memulakan aksi final dengan cukup baik apabila berjaya menguasai permainan pada 25 minit pertama selain mencipta beberapa peluang berbahaya sebelum membuka jaringan pendahuluan.
“Selangor telah cuba yang terbaik, 25 minit pertama kami menguasai permainan dan menghasilkan peluang sehingga berjaya menjaringkan gol,” katanya.
Namun begitu, tonggak Harimau Malaya itu mengakui kelalaian selepas mendahului menjadi titik perubahan yang membolehkan Buriram kembali menguasai permainan.
“Namun kita leka sehingga mereka berjaya mendapatkan gol. Selepas dibolosi, sukar untuk kami mendapatkan momentum mengejar kemenangan,” jelasnya lagi.
Walaupun kecewa gagal menjulang trofi, Faisal menyifatkan perjalanan Selangor hingga ke pentas akhir sebagai pengalaman cukup berharga buat pasukan dalam menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang.
“Bagaimanapun, ini merupakan pengalaman yang terbaik untuk Selangor. Kami telah cuba yang terbaik, rezeki kami untuk melangkah ke peringkat ini dan berusaha untuk akan datang,” katanya.
Beliau turut menegaskan skuad Gergasi Merah kini akan memberi fokus kepada proses pemulihan pemain sebelum memulakan persiapan menghadapi musim baharu.
“Ini masa untuk kami berehat terlebih dahulu sebelum membuat persiapan yang lebih baik musim hadapan,” tambahnya.





Comments