HARIMAU MALAYA: REVOLUSI TUNKU MAHKOTA ISMAIL BUAHKAN HASIL
- Editor

- Jun 11
- 3 min read

KEMENANGAN besar 4-0 skuad Harimau Malaya ke atas Vietnam dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 bukan sekadar menceriakan sebahagian besar peminat, tetapi memberi makna lebih besar kepada hala tuju baharu bola sepak negara.
Tatkala sebahagian pihak masih bersifat skeptikal terhadap agenda pembaharuan yang diperkenalkan menerusi transformasi menyeluruh skuad kebangsaan yang dilancarkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, keputusan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi tampil sebagai jawapan paling meyakinkan bahawa revolusi bola sepak negara kini membuahkan hasil yang nyata.
Menambah nilai simbolik, kesemua jaringan dijaringkan oleh pemain warisan (Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Corbin Ong dan Dion Cools) hasil pendekatan strategik yang menjadi tunjang kepada fasa pembangunan semula skuad kebangsaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Jika keputusan malam tadi berbeza, iaitu Malaysia tumbang kepada Vietnam, pastinya kecaman terhadap projek ini akan lebih lantang.
Sudah tentu akan ada pihak yang menyifatkan revolusi ini sebagai satu kegagalan, sia-sia dan pembaziran wang serta tenaga.
Namun, sebaliknya berlaku. Harimau Malaya tampil 'mengaum', menjawab segala persoalan di atas padang dengan gaya dan keyakinan yang mengundang rasa hormat.
Sebelum ini, penggunaan pemain warisan sering menjadi polemik kerana dikritik atas alasan ‘keaslian’ dan kononnya menjejaskan identiti pasukan negara.
Namun, kemenangan di SNBJ membuktikan sebaliknya bahawa pemain warisan bukan sekadar pelengkap senarai, tetapi aset utama dalam misi memperkukuh semula daya saing Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Ditunjangi pengendali berpengalaman dari Australia, Peter Cklamovski, pasukan negara tampil dominan sejak awal perlawanan.
Corak permainan kemas dan tersusun, diiringi keupayaan fizikal serta taktikal yang seimbang, membuktikan nilai tambah pemain-pemain yang berpengalaman beraksi dalam liga luar negara.
Lebih penting, gol-gol yang dihasilkan bukan sekadar statistik kemenangan, tetapi cerminan kepada keberkesanan visi jangka panjang Tunku Mahkota Ismail dalam memperkasakan struktur teknikal dan kompetitif pasukan kebangsaan.
Melampaui sentimen
Dalam dunia bola sepak moden, kejayaan bukan lagi bergantung semata-mata kepada semangat atau identiti tempatan.
Sebaliknya, ia menuntut pemikiran terbuka, ketepatan strategi dan keberanian membuat keputusan yang progresif.
Negara-negara seperti Jepun, Maghribi dan Algeria telah lama meneroka potensi diaspora mereka untuk memperkukuh skuad kebangsaan.
Malaysia kini menelusuri jejak sama dengan pendekatan yang semakin matang dan konsisten di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Ismail yang memahami denyut nadi bola sepak moden.
Maka, suara-suara sumbang yang masih mengungkit isu ketulenan perlu mengambil iktibar.
Dalam sukan kompetitif, merit dan prestasi harus mengatasi sentimen dan retorik.
Pendekatan menyeluruh
Transformasi yang diterajui oleh Tunku Mahkota Ismail bukan hanya tertumpu kepada pengambilan pemain warisan.
Ia melibatkan pendekatan menyeluruh daripada pembangunan akar umbi, peningkatan kejurulatihan, pelaburan dalam infrastruktur moden, hingga kepada pembudayaan profesionalisme dalam kalangan pemain dan penggerak industri bola sepak tanah air.
Kemenangan ke atas Vietnam adalah indikator awal bahawa perubahan yang dilaksanakan berada di landasan betul.
Ia menjadi motivasi bukan hanya kepada pemain, tetapi kepada seluruh ekosistem bola sepak negara termasuk penyokong dan pelabur.
Kepada pengkritik, keputusan di SNBJ adalah isyarat jelas bahawa dasar baharu ini bukan eksperimen kosong.
Harimau Malaya hari ini bukan lagi pasukan yang bermain dengan pendekatan pasif.
Mereka kini tampil dengan struktur yang mantap, falsafah permainan moden dan keyakinan untuk menguasai perlawanan.
Sekiranya Malaysia tumbang kepada Vietnam, pastinya tohmahan akan lebih tajam.
Pasti ada pihak yang menuntut agar projek transformasi ini dihentikan serta-merta dan menyifatkannya sebagai pembaziran masa dan wang rakyat.
Justeru, kemenangan ini bukan sahaja penting dari segi mata perlawanan tetapi ia menyelamatkan maruah, membuka harapan dan mengukuhkan kepercayaan terhadap projek jangka panjang diterajui Tunku Mahkota Ismail.
Revolusi bola sepak Malaysia yang digerakkan di bawah pengawasan Tunku Mahkota Ismail sedang berjalan lancar bukan untuk menafikan identiti, tetapi untuk memperkasa kemampuan negara bersaing di peringkat lebih tinggi.
Harimau Malaya telah mengaum dengan penuh meyakinkan dan banyak pihak kini mulai memberi perhatian.
Bola sepak negara berada dalam fasa kebangkitan baharu dan ini hanya permulaan. Sumber Artikel Sinar Harian










Comments