LANGIT MALAM BERCAHAYA DALAM SAMBUTAN “JDT REALM OF 12”
- Editor

- 7 days ago
- 1 min read

Kejayaan gemilang Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut diraikan dengan penuh gilang-gemilang menerusi sambutan “JDT Realm of 12” di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan tiba DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Kelab JDT bersama isterinya, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Trofi Liga Super disampaikan oleh Ab Ghani Hassan, diiringi oleh Onn Hafiz Ghazi, sebagai simbol kejayaan luar biasa Harimau Selatan mendominasi bola sepak Malaysia selama 12 musim berturut-turut.
Seramai 32,230 penyokong membanjiri Stadium Sultan Ibrahim untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah tersebut. Suasana bertambah meriah dengan pertunjukan bunga api yang memukau serta persembahan dron bercahaya yang menghiasi langit malam Iskandar Puteri.

Sambutan itu turut menampilkan persembahan artis dan penghibur antarabangsa termasuk 50 Cent, Onefour, Big Ben, serta kumpulan tarian terkenal Jabbawockeez dan The Royal Family.

JDT Realm of 12 bukan sekadar sambutan kejuaraan, tetapi simbol era dominasi Harimau Selatan yang terus mencipta sejarah dalam arena bola sepak Malaysia.





Comments