top of page

IMIGRESEN FC DIJENAMAKAN SEMULA SEBAGAI STAR CITY FC, SASAR CIPTA ERA BAHARU LIGA SUPER

  • Writer: Editor
    Editor
  • Jul 1
  • 2 min read

Kelab bola sepak Imigresen FC (IFC) secara rasmi dijenamakan semula sebagai Star City FC (SCFC) sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/2027.


Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan yang dimuat naik di semua platform media sosial rasmi kelab pada Rabu, sekali gus menandakan bermulanya lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kedudukan kelab di pentas bola sepak negara.



Menurut kenyataan itu, keputusan menjenamakan semula kelab dicapai secara sebulat suara oleh pengurusan tertinggi IFC CORP dan berkuat kuasa serta-merta.


Katanya, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan strategik jangka panjang untuk membentuk sebuah kelab yang lebih profesional, progresif dan berdaya saing, selain merealisasikan hasrat muncul sebagai antara pasukan bola sepak terkemuka di Malaysia.


"Penjenamaan semula ini menandakan bermulanya era baharu dalam pembangunan kelab, selaras dengan visi dan aspirasi jangka panjang untuk terus berkembang serta bersaing di peringkat tertinggi," menurut kenyataan itu.


Nama Star City FC dipilih berinspirasikan bandar raya Alor Setar, ibu negeri Kedah Darul Aman.


Menurut pihak kelab, perkataan "Star" melambangkan peranan Alor Setar sebagai nadi sejarah, pentadbiran dan pembangunan negeri, manakala "City" mencerminkan identiti sebuah kelab moden yang memiliki visi besar serta berani melangkah ke hadapan.


Walaupun tampil dengan identiti baharu, Star City FC akan terus berpangkalan di Alor Setar dan kekal membawa aspirasi serta kebanggaan rakyat Kedah dan seluruh warga di wilayah utara Semenanjung.


Seiring penjenamaan itu, kelab turut memperkenalkan slogan rasmi "The Pride of the North" yang melambangkan semangat juang serta identiti wilayah utara, manakala komuniti penyokong rasminya kini dikenali sebagai "The Northern Stars" sebagai simbol perpaduan dan kesetiaan penyokong terhadap pasukan.


Pihak pengurusan turut menegaskan bahawa Star City FC bukan sekadar pertukaran nama, sebaliknya melambangkan identiti, visi dan cita-cita baharu yang akan menjadi pemacu kepada masa depan kelab.


Dalam masa sama, kelab mengajak seluruh rakyat Kedah, warga utara dan pencinta bola sepak tanah air untuk bersama-sama menyokong perjalanan baharu Star City FC dalam usaha membina legasi yang mampu dibanggakan generasi akan datang.


Sebagai persediaan menghadapi musim baharu Liga Super, Star City FC dijangka memperkuatkan skuad dengan membawa masuk beberapa pemain berprofil tinggi selepas melantik jurulatih berpengalaman, Mehmed Duraković, bagi mengemudi pasukan.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page