JDT, KUCHING CITY SAHUT CABARAN SHOPEE CUP 2026/27
- Editor

- 4 days ago
- 2 min read

JOHOR BAHRU – Jadual rasmi saingan Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026/27 akhirnya diumumkan dengan dua wakil Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuching City FC, bakal memulakan kempen masing-masing pada Oktober ini.
Berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh ASEAN United FC, JDT yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka tirai kempen dengan menentang juara Kemboja, PKR Svay Rieng FC pada 8 Oktober.
Selepas itu, skuad bimbingan Xisco Munoz akan berdepan cabaran lebih getir apabila menerima kunjungan juara Vietnam, Cong An Ha Noi FC pada 19 November sebelum bertemu pemenang playoff kedua pada 10 Disember.
Harimau Selatan kemudian akan turun menentang juara Liga 1 Indonesia, Persib Bandung pada 17 Disember sebelum melengkapkan baki aksi kumpulan bertemu Port FC pada 4 Mac 2027 dan Lion City Sailors pada 1 April 2027.
Sementara itu, Kuching City yang beraksi dalam Kumpulan A akan memulakan cabaran di Singapura menentang Tampines Rovers pada 7 Oktober.
Pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak itu kemudiannya dijadualkan berdepan Borneo FC Samarinda pada 9 Disember sebelum menentang juara Piala Vietnam pada 16 Disember.
Cabaran lebih besar menanti The Cats apabila dijadualkan bertemu juara bertahan, Buriram United pada 27 Februari 2027.
Dua aksi terakhir peringkat kumpulan menyaksikan Kuching City menentang pemenang playoff pertama pada 3 Mac 2027 sebelum menutup kempen kumpulan bertemu Ratchaburi FC pada 31 Mac 2027.
Sekiranya JDT dan Kuching City berjaya menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik kumpulan masing-masing, aksi suku akhir akan berlangsung pada 19 dan 20 Mei 2027.
Saingan separuh akhir pula dijadualkan berlangsung pada 27 Mei dan 3 Jun 2027, manakala perlawanan akhir akan diadakan secara timbal balik pada 17 dan 30 Jun 2027.
Kehadiran dua wakil Malaysia dalam kejohanan berprestij ASEAN itu memberi harapan besar kepada penyokong tempatan untuk melihat kelab negara melangkah jauh dan sekali gus mencabar dominasi kelab-kelab gergasi dari Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura di pentas serantau.





Comments