JUAN TORRES GARRIDO YAKIN SABAH MAMPU BERI SAINGAN SENGIT KEPADA SELANGOR


Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido percaya skuad kendaliannya mampu memberikan tentangan sengit kepada Selangor FC dalam aksi Piala FA di Stadium Likas, jam 7.30 malam esok.
Keyakinan itu hadir selepas Sabah membuka kempen liga dengan dua kemenangan, namun Torres Garrido sedar cabaran lebih besar menanti apabila berdepan Selangor yang turut merekodkan permulaan sempurna dalam saingan liga.
“Kami yakin kami boleh memberikan satu perlawanan yang baik menentang Selangor,” katanya.
Menurutnya, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya dengan kehadiran penyokong yang diharapkan memenuhi Stadium Likas.
Beliau berkata, sokongan padu penyokong bukan sahaja mampu mewujudkan suasana positif di stadium, malah menjadi suntikan motivasi kepada pemain untuk beraksi pada tahap terbaik ketika berdepan pasukan berkualiti seperti Selangor.
“Kelebihannya adalah bermain di hadapan Likas yang penuh. Saya mahu mengajak mereka datang ke stadium untuk menyokong kami,” katanya.
Pertembungan kedua-dua pasukan kali ini turut mengimbau kembali aksi dramatik Piala FA musim lalu apabila Sabah menyingkirkan Selangor menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat agregat 5-5.
Walaupun belum mengendalikan Sabah ketika pertemuan tersebut, Torres Garrido mengakui kejayaan itu cukup besar dan berharap anak buahnya mampu mengulangi pencapaian berkenaan.
“Saya masih belum berada di sini ketika itu, tetapi itu adalah satu keputusan yang besar. Sudah tentu bagus jika kami dapat mengulanginya,” katanya.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Sepanyol itu menjangkakan Selangor hadir dengan motivasi tinggi, lebih-lebih lagi selepas turut memenangi dua perlawanan pertama liga.
Torres Garrido mengakui Selangor mungkin lebih unggul di atas kertas, namun beliau percaya penilaian sebelum perlawanan tidak semestinya menggambarkan keputusan sebenar apabila kedua-dua pasukan turun beraksi.
“Kami menjangkakan berdepan pasukan yang sangat bagus dan bermotivasi tinggi. Saya pasti mereka juga menyasarkan untuk mara ke final Piala FA dan di atas kertas mereka jelas pilihan berbanding kami.
“Tetapi kita akan lihat apa yang berlaku di atas padang,” katanya.
Mengenai sasaran Sabah untuk mengulangi pencapaian mara ke final Piala FA musim lalu, Torres Garrido memilih pendekatan realistik dengan menegaskan skuadnya masih dalam proses pembentukan.
Katanya, Sabah kini memiliki barisan yang hampir baharu dengan ramai pemain masih menyesuaikan diri dengan corak permainan serta tuntutan pasukan.
Justeru, beliau mahu anak buahnya memberi tumpuan kepada setiap perlawanan dan memperbaiki prestasi secara berperingkat.
“Itu bukan sasaran yang realistik pada ketika ini. Kami mempunyai pasukan yang hampir baharu dan perlu bergerak langkah demi langkah.
“Prestasi dan keputusan kami selepas beberapa perlawanan akan menunjukkan di mana sebenarnya tahap kami. Kami masih dalam fasa peralihan dan ramai pemain baharu masih menyesuaikan diri,” katanya.
Dalam pada itu, Torres Garrido sekali lagi menyeru penyokong Sabah untuk memenuhi Stadium Likas dan memberikan sokongan kepada pasukan.
Beliau percaya kehadiran penyokong dalam jumlah besar mampu memberikan tenaga tambahan kepada pemain selain membantu skuad baharu Sabah berkembang dengan lebih pantas.
“Kami perlukan penyokong datang ke stadium jika kami mahu berkembang lebih cepat dan mempunyai peluang untuk menghadapi cabaran seperti ini,” katanya.
Dengan kedua-dua pasukan hadir berbekalkan dua kemenangan awal liga, pertemuan di Stadium Likas dijangka menjadi ujian penting buat Sabah untuk mengukur kemampuan sebenar skuad baharunya.
Lebih menarik, aksi itu turut membuka peluang kepada Sabah untuk mengulangi episod manis musim lalu ketika mereka menyingkirkan Selangor dalam pertembungan dramatik Piala FA.





Comments