KEHADIRAN HAMIDIN DI PIALA DUNIA 2026 BUKTI KEPERCAYAAN FIFA


Kelibat Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato' Haji Hamidin Mohd Amin, mencuri perhatian apabila beliau muncul dalam siaran langsung perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 membabitkan Sepanyol dan Austria di Stadium Los Angeles.
Menerusi paparan kamera televisyen, Hamidin dilihat berada di tempat duduk khas pegawai FIFA, beberapa barisan di hadapan bekas pemain legenda Sepanyol seperti David Villa, Carles Puyol dan Albert Luque yang turut hadir menyaksikan aksi tersebut.
Kehadiran Hamidin di venue berkenaan bukan sebagai penonton biasa, sebaliknya beliau berada di Amerika Syarikat bagi menjalankan tanggungjawab rasmi selaku Ahli Majlis FIFA selepas diberikan kepercayaan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino, untuk bertindak sebagai Ketua Delegasi serta wakil Presiden FIFA bagi venue di Los Angeles dan San Francisco.
Menurut Hamidin, peranan yang dipikul merangkumi pemantauan kelancaran pengurusan dan operasi perlawanan di kedua-dua bandar tersebut bermula dari peringkat kumpulan sehingga ke peringkat kalah mati.
Beliau turut memaklumkan bahawa tugasan itu melibatkan penyelarasan operasi pertandingan, memastikan setiap perlawanan berlangsung mengikut piawaian FIFA serta menjadi wakil rasmi badan induk bola sepak dunia sepanjang kejohanan berlangsung.
Pelantikan itu menyaksikan Hamidin antara kumpulan kecil pegawai kanan FIFA yang diberikan tanggungjawab mengawasi perjalanan kejohanan terbesar dalam sejarah Piala Dunia, yang buat julung kalinya disertai 48 negara dan berlangsung di 16 venue di Amerika Syarikat, Kanada serta Mexico.
Penampilan beliau dalam aksi Sepanyol menentang Austria sekali lagi memperlihatkan penglibatan wakil Malaysia di pentas tertinggi bola sepak dunia, sekali gus mencerminkan keyakinan FIFA terhadap kepimpinan serta pengalaman Hamidin dalam pentadbiran sukan antarabangsa.





Comments