top of page

KFA TIDAK BENARKAN 'THE MIGHTY TIGERS' DAFTAR SDA SEBAGAI STADIUM RASMI

  • Writer: Editor
    Editor
  • Jun 19
  • 2 min read

ree

PASUKAN Imigresen FC yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan tidak dibenarkan mendaftarkan Stadium Darul Aman (SDA) di Alor Setar sebagai gelanggang rasmi mereka.


Sebaliknya, pasukan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu diminta mendaftarkan Stadium Bandaraya di Pulau Pinang sebagai pilihan yang lebih sesuai.


Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan tersebut dibuat kerana Pulau Pinang memiliki dua stadium, manakala Kedah hanya mempunyai satu sahaja. 

Presiden (KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Presiden (KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Ada orang marah kita kerana tak bagi satu pasukan yang minta untuk guna SDA, nak daftar stadium kita sebagai 'home', nak pakai stadium kita, yang itu tak boleh.


"Saya difahamkan pasukan itu Imigresen FC, pasukan ini di bawah KDN, oleh kerana Imigresen FC di bawah KDN, saya nasihatkan mereka boleh guna Stadium Bandaraya di Pulau Pinang," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman pada Rabu.


Menurut Sanusi, pasukan dari luar tidak boleh menjadikan SDA sebagai gelanggang tetap kerana ia perlu diutamakan untuk pasukan dari negeri Kedah sendiri.


"Penggunaan stadium boleh, nak daftar sebagai laman sendiri tak dibenar, setiap pasukan ada laman sendiri, nak daftar Stadium Darul Aman sebagai laman sendiri tak boleh sebab ada pasukan lain mewakili Kedah. 


"Dia nak mewakili Imigresen FC boleh ke negeri lain atau ke Pulau Pinang yang sesuai untuk Imigresen FC, yang banyak imigresen di Pulau Pinang, pergilah Pulau Pinang lebih sesuai," katanya. 


Beliau juga menyatakan Pulau Pinang lebih sesuai kerana adanya dua stadium iaitu Stadium Batu Kawan dan Stadium Bandaraya serta lebih banyak kemudahan imigresen.


Dalam perkembangan lain, Sanusi memaklumkan senarai pemain dan barisan kejurulatihan KFA FC akan diumumkan pada minggu kedua Julai.


Buat masa ini, katanya, pemilihan pemain dan ketua jurulatih telah dimuktamadkan, namun belum bersedia untuk diumumkan kepada umum.


Sebelum ini, Imigresen FC dijangka memilih Stadium Darul Aman sebagai gelanggang baharu mereka selepas disahkan naik pangkat ke Liga Super musim 2025/2026. — The Star

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2025 Sports Republic™. All Rights Reserved.  
sportsrepublic.asia is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.
bottom of page