top of page

LAMA TIDAK BERAKSI DI FINAL PUNCA SELANGOR GAGAL RAIH GELARAN ‘RAJA BOLASEPAK ASEAN’

  • Writer: Editor
    Editor
  • 13 hours ago
  • 2 min read

Rasa gementar beraksi di pentas final pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menjadi faktor utama yang menjejaskan prestasi Selangor FC (SFC) sehingga gagal menjulang trofi berprestij itu musim ini.


Skuad kendalian Kim Pan Gon terpaksa akur muncul naib juara selepas tewas 1-3 secara agregat kepada Buriram United, susulan kekalahan 1-2 pada aksi final kedua di Arena Chang, semalam.



Sebelum itu, The Red Giants turut kecundang 0-1 pada aksi final pertama di laman sendiri yang dilihat memberi tekanan besar kepada pasukan menjelang perlawanan penentuan di Thailand.


Menurut Pan Gon, barisan pemainnya masih kurang pengalaman untuk mengharungi suasana perlawanan akhir yang besar seperti ACC, namun beliau tetap bangga dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya sepanjang dua aksi final tersebut.


“Pada perlawanan di laman sendiri, saya rasa pemain tidak biasa bermain dalam perlawanan akhir. Sudah lama kami tidak berada di pentas final dan mereka sedikit gementar.


“Kami menggalakkan pemain untuk mempamerkan identiti permainan mereka kerana mereka mewakili penyokong. Ia berhasil dan walaupun beraksi di tempat lawan, kami tetap yakin.


“Saya bangga kerana kami mengekalkan karakter permainan menentang pasukan sekuat ini,” katanya selepas tamat perlawanan.


Pengendali dari Korea Selatan itu turut menjelaskan beberapa perubahan taktikal berjaya dilakukan terutama dari aspek bertahan yang banyak membantu pasukannya menyaingi juara bertahan tersebut.


“Kami cuba membetulkan beberapa perkara dari segi taktikal dan ia menjadi. Corak bertahan kami berfungsi dengan baik. Ia satu perkembangan yang positif,” katanya lagi.


Pada aksi final kedua itu, Selangor tampil agresif sejak awal permainan dan beberapa kali mengancam kubu Buriram United, namun ketangkasan penjaga gol berpengalaman, Neil Etheridge menjadi penghalang utama.


Bagaimanapun, skuad Merah Kuning berjaya memecah kebuntuan menerusi rembatan jarak jauh Syahir Bashah pada minit ke-18 untuk mengikat agregat 1-1 dan sekali gus menghidupkan peluang memburu kejuaraan.


Namun pengalaman Buriram United jelas menjadi pemisah apabila mereka bangkit menerusi jaringan Suphanat Mueanta dan Theerathon Bunmathan untuk memastikan kemenangan 2-1 di laman sendiri.


Keputusan itu menyaksikan Buriram United berjaya mempertahankan kejuaraan ACC dan terus mengukuhkan status mereka sebagai ‘Raja Bola Sepak ASEAN’.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page