LIGA M AWARDS 2025-2026: ARIF AIMAN TIADA DALAM SENARAI CALON, 70 CALON REBUT TUJUH ANUGERAH UTAMA
- Editor

- Jul 9
- 2 min read

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan senarai pendek bagi tujuh kategori utama Liga M Awards 2025-2026 yang menyaksikan seramai 70 calon dipilih oleh Jawatankuasa (AJK) Saringan untuk bersaing merebut pengiktirafan tertinggi bola sepak Liga Malaysia.
Liga M Awards merupakan penjenamaan baharu kepada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) yang diperkenalkan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang pemain, jurulatih dan pasukan sepanjang musim 2025-2026.
Keputusan akhir bagi tujuh kategori utama akan ditentukan menerusi proses pengundian membabitkan 13 ketua jurulatih, 13 ketua pasukan Liga Malaysia 2025-2026 serta 13 wakil media.
Tujuh kategori tersebut ialah Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.
Antara nama yang tersenarai ialah penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Syihan Hazmi Mohamed, pertahanan La'vere Corbin-Ong, pemain tengah Stuart Wilkin dan Afiq Fazail serta pemain import Bergson Da Silva dan Eddy Israfilov.
Turut berada dalam senarai ialah beberapa tonggak utama Liga Super seperti Faisal Halim (Selangor FC), Paulo Josue dan Safawi Rasid (Kuala Lumpur City FC), Akhyar Rashid (Terengganu FC), Chrigor Moraes (Selangor FC) serta Aidil Sharin Sahak yang dicalonkan bagi kategori Jurulatih Terbaik.
Bagaimanapun, antara perkara yang mencuri perhatian ialah ketiadaan nama bintang JDT, Arif Aiman Hanapi, dalam mana-mana daripada tujuh kategori pencalonan yang diumumkan.
Ketiadaan pemain kebangsaan itu menjadi perhatian penyokong memandangkan Arif Aiman merupakan antara pemain paling menyerlah dalam beberapa musim kebelakangan ini serta pernah memenangi beberapa anugerah individu sebelum ini.
Selain tujuh kategori yang diputuskan melalui undian jurulatih, kapten pasukan dan wakil media, MFL turut memaklumkan bahawa dua lagi kategori iaitu FAN XI dan Gol Terbaik akan ditentukan sepenuhnya menerusi undian penyokong.
Undian bagi kedua-dua kategori berkenaan akan dibuka kepada orang ramai menerusi laman web rasmi MFL dalam masa terdekat.
Secara keseluruhan, Liga M Awards 2025-2026 mempertandingkan 15 kategori iaitu:
Penjaga Gol Terbaik
Pertahanan Terbaik
Pemain Tengah Terbaik
Penyerang Terbaik
Jurulatih Terbaik
Pemain Import Terbaik
Pemain Muda Terbaik
Pemain Paling Bernilai (MVP)
Fair Play Award
Pasukan Terbaik
Gol Terbaik
FAN XI
Kasut Emas Liga Super (Tempatan)
Kasut Emas Liga Super
Penyokong Terbaik.
Majlis anugerah itu dijangka menjadi pentas bagi menghargai individu dan pasukan yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kempen Liga Malaysia musim 2025-2026.





Comments