LIGA SUPER: KL CITY BEBAS SEKATAN FIFA, RM1.1 JUTA SELESAI TUNGGAKAN GAJI


Kuala Lumpur City FC (KL City FC) kini bebas daripada sekatan perpindahan yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus membuka laluan buat pasukan itu mendaftarkan pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Super 2026/27.
Perkara itu disahkan pengendali KL City, Datuk Dollah Salleh, yang memaklumkan sekatan berkenaan sudah ditarik balik selepas isu tunggakan yang menjadi punca penggantungan diselesaikan.
“Yang penting kita sudah dapat berita mengenai sekatan perpindahan kita. Kita sudah dapat keputusan bahawa kita sudah lepas daripada penggantungan ini.
“Insya-Allah pada perlawanan yang akan datang, kita tidak boleh menjadikan perkara ini sebagai satu alasan lagi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan KL City menentang Kuching City FC.
Semakan di pangkalan data sekatan perpindahan FIFA turut mendapati nama KL City tidak lagi tersenarai dalam senarai kelab yang dikenakan sekatan oleh badan induk bola sepak dunia itu.
Sementara itu, laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, menyebut Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar, membuat pembayaran berjumlah RM1.1 juta bagi melangsaikan tunggakan gaji lama yang membelenggu kelab berkenaan.
Penyelesaian tunggakan itu sekali gus membolehkan The City Boys keluar daripada sekatan perpindahan FIFA, selepas isu tersebut sebelum ini menjejaskan keupayaan pasukan untuk mendaftarkan pemain.
Kelewatan menyelesaikan perkara berkenaan turut menyaksikan KL City berdepan masalah kekurangan pemain dalam dua perlawanan pertama musim ini.
Dengan sekatan berkenaan kini ditarik balik, KL City dijangka dapat memperkuatkan skuad mereka bagi meneruskan kempen musim 2026/27.
Kelab itu setakat ini sudah mendapatkan khidmat lapan pemain baharu, termasuk penyerang kebangsaan Syafiq Ahmad, Hazwan Bakri, Gary Steven Robbat dan Ibrahim Manusi, yang menyertai pasukan secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Selain itu, KL City turut dilaporkan sedang dalam proses mendapatkan bek tengah Ghana, Joseph Adjei, serta penyerang muda Nigeria, Yusuf Tunji Omotosho.
Perkembangan terbaharu itu pastinya memberi kelegaan kepada Dollah dan skuad KL City, yang kini mempunyai peluang lebih besar untuk memperkemaskan barisan pemain dan kembali bersaing dengan lebih kompetitif dalam saingan Liga Super musim ini.





Comments