top of page

LIGA SUPER: AKSI PENUH DRAMATIK, KAD MERAH, HIASI PERTEMUAN SELANGOR-MELAKA

Writer: Editor
Editor
Sep 7
1 min read

Selangor terpaksa mengharungi aksi penuh dramatik sebelum memastikan kemenangan 3-2 ke atas Melaka dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.


Skuad kendalian Kim Pan-gon itu hampir tercicir mata selepas berdepan pelbagai dugaan termasuk layangan kad merah, kelebihan dua gol yang terhakis serta sepakan penalti yang sekadar menggegar palang gol.


Selangor membuka tirai jaringan menerusi Chrigor Moraes, namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Kay Tejan dilayangkan kad merah sebelum tamat separuh masa pertama.



Bagaimanapun, kekurangan pemain tidak menghalang Gergasi Merah daripada terus menguasai permainan apabila Moraes sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring untuk menggandakan kelebihan Selangor hasil larian pantas dan penyudah kemas.


Melaka yang sebelum ini hanya merekodkan satu kemenangan dalam kempen liga musim ini kemudian bangkit memperkemaskan permainan dan merapatkan jurang menerusi rembatan kencang Shahir Rashid dari luar kotak penalti.


Pasukan pelawat terus memberi tekanan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain import, Do Dong-hyeon, pada minit ke-75.


Selangor berpeluang untuk kembali berada di hadapan apabila Moraes diberikan kesempatan menerusi sepakan penalti, sekali gus membuka ruang buat penyerang itu melengkapkan hatrik.


Namun, percubaannya gagal menemui sasaran apabila bola hanya menggegar palang gol, menyebabkan kemenangan Selangor seakan-akan semakin sukar untuk direalisasikan.


Ketika perlawanan menuju penghujung aksi, Jefferson Tabinas muncul sebagai wira apabila memanfaatkan situasi kelam-kabut di hadapan gawang Melaka yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat untuk menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.


Kemenangan itu memastikan Selangor mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas mengharungi tiga perlawanan dalam kempen Liga Super musim ini.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page