LIGA SUPER: GILIRAN NSFC JADI KORBAN HARIMAU SELATAN
- Editor
- Aug 11
- 1 min read

SETELAH cemerlang meraih tiga apabila menewaskan Selangor FC pada aksi pembukaan Liga Super Jumaat lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) berazam untuk terus melakar kemenangan ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Malah menurut pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz, kemenangan 3-0 ketika berdepan skuad Gergasi Merah itu turut menyuntik semangat pemain bagi mengekalkan prestasi terbaik bagi berdepan skuad Rusa yang pastinya memburu kemenangan sulung musim ini.
“Momentum kemenangan ini perlu diteruskan dan kami mahu pastikan tiga mata di gelanggang sendiri tidak terlepas.
"Justeru, kesemua pemain juga perlu berada pada tahap optimum dan bersedia untuk beraksi pada perlawanan ini.
"Bagaimanapun, kita tahu Negeri Sembilan FC kini berwajah baharu dengan pemain tempatan dan import yang sekali gus memberikan petanda mereka juga melakukan persiapan yang mantap menjelang perlawanan kali ini," katanya.
Sementara itu, Munoz berkata, dia juga belum memutuskan sama ada akan melakukan penggiliran pada aksi berkenaan.
Bagaimanapun katanya, skuad kendaliannya itu akan mengekalkan corak pantas dengan transisi yang baik termasuk memperkemaskan lagi asakan pada situasi bola mati.
"Sebenarnya setiap pertemuan dalam saingan liga tidak pernah mudah kerana kesemua pasukan pasti mahu membuktikan sesuatu.
"Oleh itu, berdepan Negeri Sembilan, kami perlu bermain dengan intensiti tinggi, menguasai perlawanan dan menutup ruang sebelum ia dimanfaatkan lawan.
"Selain itu, kami juga perlu bersedia dengan permainan konsisten dan berdisiplin di sepanjang hingga ke wisel penamat," katanya. Sumber Artikel Sinar Harian
Comments