top of page

LIGA SUPER: KL CITY UNGGUL TERATAS CARTA SELEPAS MENANG TIGA AKSI.

  • Writer: Editor
    Editor
  • Aug 28
  • 2 min read

ree

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City FC terus mengekalkan rentak kemenangan apabila menundukkan PDRM FC 3-1 dalam aksi minggu keempat Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.


Selepas mencatat kemenangan penting ke atas Penang di tempat lawan Ahad lalu, skuad kendalian Risto Vidakovic tidak menoleh ke belakang dan sekali lagi membuktikan mereka kini berada pada prestasi terbaik untuk bersaing di kelompok teratas liga.


Aksi bermula rancak dengan kedua-dua pasukan saling menguji kubu lawan, namun penyokong tuan rumah akhirnya bersorak pada minit ke-25 apabila pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid, tenang menyempurnakan hantaran lintang rendah Declan Lambert. Gol itu memberikan kelebihan awal buat The City Boys menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan 1-0.


Memasuki babak kedua, KL City tidak menunggu lama untuk menambah derita pelawat. Hanya lapan minit selepas bersambung, kapten berpengaruh, Paulo Josue, bijak memanfaatkan ruang dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol PDRM, Ifwat Akmal Chek Kassim.


ree

Keadaan bertambah sukar buat PDRM apabila penyerang import, Kpah Sherman, dikasari dalam kotak penalti. Pengadil tanpa ragu mengisyaratkan sepakan penalti dan peluang itu tidak disia-siakan oleh Nicolao Cardoso yang meledak jaringan ketiga KL City pada minit ke-65 untuk menjadikan kedudukan 3-0.



Sedar tiga mata hampir pasti menjadi milik tuan rumah, PDRM cuba bangkit dengan melancarkan serangan balas. Usaha itu akhirnya berhasil pada minit ke-88 apabila Kyaw Min Oo menyempurnakan sepakan percuma cantik dari jarak 25 meter untuk merapatkan kedudukan 3-1. Namun, ia sekadar gol saguhati buat skuad kendalian Eddy Gapil.



Sorakan penyokong KL City bergema sebaik wisel penamat ditiup, meraikan kemenangan kedua berturut-turut sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan liga.


Kemenangan itu turut melonjakkan The City Boys ke tangga teratas Liga Super dengan mengumpul 10 mata, mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menghuni tempat kedua dengan satu perlawanan kurang.


ree

Jurulatih KL City, Vidakovic, menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti pasukannya semakin serasi. “Kami semakin mantap dari satu perlawanan ke perlawanan lain.


Pemain mengikut arahan dengan baik dan Safawi membuktikan kualiti yang dimilikinya. Namun, musim masih panjang dan kami perlu terus konsisten,” katanya.


Bagi penyokong setia Warga Kota, kemenangan ini dianggap isyarat jelas bahawa KL City sudah bersedia mencabar dominasi pasukan gergasi Liga Super musim ini.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2025 Sports Republic™. All Rights Reserved.  
sportsrepublic.asia is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.
bottom of page