LIGA SUPER: KTRW GAGAL KUTIP TIGA MATA PENUH DI LAMAN SENDIRI
- Editor
- 6 days ago
- 2 min read

Hasrat Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW FC) mengutip mata penuh di laman sendiri tidak kesampaian apabila diikat Imigresen FC 1-1 pada perlawanan kedua Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Selasa.
Aksi babak pertama berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mencari gol pendahuluan dengan masing-masing beberapa kali mencemaskan gol lawan.

Kapten tuan rumah, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi hampir membuka jaringan apabila rembatan derasnya menuju tepat ke gawang, namun berjaya ditampan penjaga gol Imigresen FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.
Imigresen FC membalas serangan menerusi percubaan Joao Pedro Boeira Duarte pada minit ke-34, namun tendangannya tersasar dari gawang.
Kelantan TRW sepatutnya di hadapan pada minit ke-36 namun gol jaringan Ifedayo menerusi satu tandukan hasil sepakan sudut yang diambil Muhammad Nor Azam Abdul Azih dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) dilakukan pengandil perlawanan berlaku kekasaran dalam kotak penalti.
Selang enam minit kemudian, pasukan pelawat memperoleh peluang keemasan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-42 susulan terjahan keras Rakesh Munusamy terhadap pemain lawan.
Peluang itu tidak disia-siakan oleh Eduardo Jose Sosa Vegas yang tenang menyempurnakan sepakan tersebut menewaskan penjaga gol Kelantan TRW Damyanov Damyan Valeriy untuk memastikan Imigresen FC mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.
Separuh masa kedua, anak buah E Elavarasan terpaksa bekerja keras untuk menembusi benteng pertahanan Imigresen bagi mendapatkan gol di laman sendiri.
Malang buat Imigresen FC apabila kehilangan Amirali Chegini selepas dilayangkan kad merah pada minit 76 akibat menepis tendangan ke gawang dari Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik sekali gus menghadiahkan tendangan penalti kepada Kelantan TRW.
Peluang keemasan dimanfaatkan Ifedayo yang mencipta gol pertama Kelantan TRW bagi menyamakan kedudukan hingga terikat ke akhir perlawanan, satu sama.
Kelantan dijangka bertandang ke Likas untuk menentang Sabah FC pada 17 Ogos ini, manakala Imigresen akan menerima kunjungan Terengganu FC sehari kemudian. Sumber Artikel Sinar Harian
Comments