LIGA SUPER: KUCHING CITY TERUS GARANG, BENAM KRW FC 5-0


Kuching City FC meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super selepas membelasah Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) 5-0 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, petang semalam.
Kemenangan itu hadir selepas Kuching City mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Kuala Lumpur City FC pada aksi terdahulu, sekali gus mengukuhkan momentum positif skuad kendalian Aidil Sahrin.
Sebaliknya, KRW FC yang sebelum ini diaibkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 9-0 gagal bangkit di Paroi apabila terpaksa beraksi dengan skuad yang tempang.
Perlawanan berkenaan pada asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, namun dipindahkan ke Paroi.
Situasi KRW FC semakin mencabar apabila ketua jurulatihnya, Irfan Bakti, hanya mempunyai lima pemain di bangku simpanan, dipercayai susulan krisis influenza yang melanda pasukan itu sebelum ini.
Kuching City pula menurunkan barisan serangan yang diketuai Jerome Etame, yang meledak empat gol ketika menewaskan KL City, selain bekas pemain sayap JDT, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah.
Kuching City tidak mengambil masa lama untuk membuka tirai jaringan apabila Etame menyumbat gol pertama pada minit ketujuh.

Skuad The Cats kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-15 menerusi Ramadhan, yang kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas hanya berada di bangku simpanan pada perlawanan terdahulu.
Kelebihan Kuching City bertambah pada masa kecederaan babak pertama apabila Safawi meledak gol ketiga untuk membolehkan pasukannya menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan 3-0.

Memasuki separuh masa kedua, Aidil melakukan pertukaran awal dengan memasukkan Ariff Farhan bagi menggantikan Joao Pedro.
Kuching City terus menguasai permainan dan tidak memberi ruang kepada KRW FC untuk mengubah corak perlawanan.
Etame kemudian melengkapkan gol keduanya pada minit ke-54 untuk melebarkan kelebihan kepada 4-0.
Hanya dua minit kemudian, Safawi sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila meledak gol keduanya pada minit ke-56 untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Tiada lagi jaringan berjaya dihasilkan selepas itu apabila Kuching City memastikan kemenangan bergaya 5-0 sehingga wisel penamat.
Kemenangan tersebut menyaksikan Kuching City terus membina momentum positif menjelang pertemuan semula dengan KRW FC dalam saingan Piala FA pada 1 September ini.





Comments